
Pengeluaran poppy opium di Myanmar meningkat kepada paras tertinggi dalam sepuluh tahun ini, menjadikan negara itu antara pembekal utama dadah haram di dunia, menurut laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Myanmar Opium Survey 2025 yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), kawasan tanaman opium meningkat 17 peratus dari 2024 kepada 53,100 hektar, rekod terbesar sejak 2015. UNODC juga menyifatkan Myanmar sebagai pengeluar methamphetamine terbesar dunia, yang lebih mudah dihasilkan secara industri berbanding opium.
Opium diproses menjadi morfin dan heroin, dan pengeluarannya melonjak kerana konflik berterusan di negara itu serta kemiskinan meluas. Harga opium segar kini mencecah kira-kira AS$329 per kilogram, lebih dua kali ganda harga pada 2019, dengan nilai ekonomi opium dianggarkan antara AS$641 juta hingga AS$1.05 bilion, atau sekitar 0.9 hingga 1.4 peratus daripada KDNK Myanmar 2024.
Peningkatan keluasan tanah tanaman berjaya mengimbangi penurunan hasil purata sebanyak 13 peratus akibat konflik yang semakin sengit di beberapa kawasan, menghasilkan peningkatan 1 peratus dalam pengeluaran opium kepada kira-kira 1,010 metrik tan. Pertumbuhan ini menandakan kebangkitan semula perdagangan dadah yang sudah lama tertanam di negara itu, terutama di wilayah timur laut Myanmar yang menjadi sebahagian daripada “Segitiga Emas” di sempadan Myanmar, Laos dan Thailand.
Delphine Schantz, Wakil UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, berkata peningkatan ini menunjukkan betapa ekonomi opium telah kembali berkembang dan berpotensi meningkat lagi pada masa hadapan. Laporan itu juga menyatakan terdapat tanda heroin Myanmar mula memasuki pasaran Eropah, menggantikan bekalan yang merosot dari Afghanistan.
Menurut UNODC, tanpa penyediaan alternatif pekerjaan yang mampan, kitaran kemiskinan dan pergantungan terhadap penanaman dadah akan terus berlarutan, menjadikan cabaran bagi usaha memerangi pengedaran dadah haram di rantau ini.
Sumber: CNN