Netanyahu Ikrar ‘Tiada Negara Palestin’, Lulus Rancangan Penempatan Haram di Tebing Barat

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa tidak akan ada negara Palestin, sambil meluluskan rancangan pembesaran penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.

Bercakap pada majlis menandatangani projek di Maale Adumim, penempatan Israel berhampiran Baitulmaqdis Timur, Netanyahu berkata tanah berkenaan adalah “milik Israel” dan berjanji akan melipatgandakan populasi kawasan tersebut.

“Kami akan menunaikan janji bahawa tidak akan ada negara Palestin. Kami akan menjaga warisan, tanah dan keselamatan kami,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung oleh pejabatnya.

Rancangan itu melibatkan kawasan dikenali sebagai E1, seluas kira-kira 12 kilometer persegi yang menghubungkan Baitulmaqdis Timur dengan Maale Adumim. Projek ini telah lama tertangguh akibat bantahan antarabangsa kerana dikhuatiri memutuskan sambungan wilayah Palestin antara utara dan selatan Tebing Barat.

Bulan lalu, Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich menyokong pembinaan lebih 3,400 unit rumah di kawasan berkenaan, sekali gus menghidupkan semula projek E1 yang telah lama terhenti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pelaksanaan projek itu akan “membelah” Tebing Barat yang diduduki dan menjejaskan prospek pembentukan negara Palestin. Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyifatkan langkah tersebut sebagai “ancaman wujud” kepada penyelesaian dua negara.

Menurut undang-undang antarabangsa, semua penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 adalah haram, walaupun diiktiraf oleh pihak berkuasa Israel.

Dalam pada itu, beberapa kerajaan Barat termasuk Britain dan Perancis mengumumkan rancangan mengiktiraf Negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB hujung bulan ini, khususnya jika Israel gagal mencapai gencatan senjata dalam perang di Gaza.

NGO Israel, Peace Now, yang memantau aktiviti penempatan haram, memberi amaran bahawa kerja infrastruktur di kawasan E1 boleh bermula dalam tempoh beberapa bulan, dengan pembinaan rumah dijangka menyusul dalam masa setahun.

Tebing Barat kini dihuni sekitar tiga juta rakyat Palestin bersama lebih 500,000 peneroka haram Israel, tidak termasuk penduduk di Baitulmaqdis Timur yang turut diduduki.

— TRT World

Exit mobile version