
Nyawa Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr. Hussam Abu Safiya, kini dilaporkan berada dalam keadaan amat bahaya dan kritikal akibat kesan penderaan fizikal yang teruk di dalam tahanan Israel.
Pertubuhan hak asasi manusia, Physicians for Human Rights, mendedahkan bahawa tokoh perubatan terkemuka Palestin itu mengalami kecederaan yang ketara serta penurunan tahap kesihatan yang amat membimbangkan.
Laporan agensi berita Palestin WAFA memetik kenyataan peguam beliau, Nasser Odeh, yang melawat Dr. Hussam pada 2 Julai lalu di pusat tahanan Rakefet di Penjara Nitzan. Odeh mendokumentasikan pelbagai kecederaan serius, tanda penyeksaan fizikal, kesukaran bernafas, serta episod hilang kesedaran yang berlaku berulang kali.
Menurut Odeh, Dr. Hussam dibawa ke bilik pertemuan dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya digari serta diiringi oleh pengawal penjara bertopeng.
“Beliau menunjukkan kesan lebam baharu yang sangat teruk di sekitar kepala, mata, telinga, dan leher. Malah, keadaan fizikalnya dilaporkan telah merosot dengan mendadak sehingga sukar untuk dikenali lagi,” kata peguam itu.
Kebimbangan Dibunuh di Dalam Tahanan
Ketua Jabatan Banduan dan Tahanan Physicians for Human Rights Israel, Naji Abbas, menyifatkan keterangan peguam tersebut sebagai antara testimoni paling meruntun jiwa yang pernah diterima oleh organisasi itu sejak bermulanya perang.
Menurut Abbas, Dr. Hussam sendiri melahirkan kebimbangan yang mendalam bahawa beliau mungkin akan dibunuh atau mati di dalam tahanan. Keadaan kesihatan dan layanan terhadap beliau dilaporkan menjadi lebih buruk selepas beliau bertindak mencabar keabsahan penahanannya di mahkamah.
Abbas menegaskan bahawa pihak berkuasa Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan dan kesejahteraan semua tahanan, selain mendesak campur tangan antarabangsa yang segera bagi menyelamatkan nyawa beliau.
Keperwiraan yang Berakhir di Gari Rejim
Dr. Hussam Abu Safiya ditahan oleh tentera Israel pada 27 Disember 2024 selepas rejim menyerbu Hospital Kamal Adwan secara ganas dan mengusir kakitangan perubatan dengan ancaman senjata, yang menyebabkan kemudahan itu lumpuh sepenuhnya.
Sebelum ditangkap, beliau pernah tercedera dalam serangan udara Israel ke atas hospital tersebut pada 24 November 2024, namun enggan berpindah dan memilih untuk terus merawat pesakit. Beliau juga kehilangan anak lelakinya yang terkorban dalam serbuan terdahulu tentera Israel pada 26 Oktober 2024.
Pada Februari 2025, Israel mengklasifikasikan Dr. Hussam sebagai “pejuang haram” di tengah-tengah laporan pengabaian perubatan yang disengajakan. Pejabat Media Banduan Palestin kemudiannya mengumumkan pada 3 Jun 2026 bahawa doktor ikonik itu telah dipindahkan ke sel kurungan bersendirian. – AGENSI