
Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 pasport paling berkuasa di dunia apabila menduduki tangga ketujuh dalam Indeks Pasport Henley 2026.
Menerusi kedudukan berkenaan, pemegang pasport Malaysia menikmati akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan (visa-on-arrival) ke 183 destinasi di seluruh dunia.
Malaysia berkongsi kedudukan ketujuh tersebut bersama beberapa negara maju lain seperti Australia, Kanada, Czechia, Latvia, New Zealand, Slovakia dan Slovenia.
Di rantau Asia Tenggara, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pemilik pasport kedua paling berkuasa di belakang Singapura yang mengungguli kedudukan carta global dengan akses ke 192 destinasi. Brunei berada di tangga ke-19 (163 destinasi), diikuti Thailand di kedudukan ke-63 (77 destinasi), Indonesia di tempat ke-68 (70 destinasi) dan Filipina di tempat ke-72 (65 destinasi).
Selain itu, Malaysia turut mengatasi beberapa kuasa ekonomi utama dunia termasuk Amerika Syarikat yang berada di tangga ke-10 (berkongsi dengan Iceland) serta Hong Kong di kedudukan ke-14.
Singapura berada di tangga teratas global, manakala Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkongsi kedudukan kedua. Tempat ketiga disandang oleh Sweden.
Indeks Pasport Henley 2026 menilai 199 pasport merentasi 227 destinasi antarabangsa berasaskan data rasmi daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang dikemas kini secara berkala.
Sumber: Agensi Berita Rasmi