
Pertikaian undang-undang antara pekebun durian Raub, Kerajaan Negeri Pahang dan beberapa agensi berhubung notis pengusiran berakhir hari ini selepas pekebun terbabit menarik balik rayuan mereka.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Lim Chong Fong membatalkan rayuan itu selepas peguam pekebun, Brendan Navin Siva, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak akan meneruskan rayuan. Turut bersidang ialah Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Ismail Brahim.
Beberapa responden termasuk Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menuntut kos, dan mahkamah kemudian menetapkan kos guaman sebanyak RM8,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang dan PKPP. Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd tidak menuntut kos.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman pekebun untuk mencabar arahan kerajaan negeri mengusir mereka dari kebun di kawasan Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum. Hakim memutuskan keputusan responden untuk mengeluarkan notis pengusiran selaras dengan keperluan undang-undang dan tidak dicemari unsur ketidaksahan, ketidakrasionalan atau niat jahat.
Para pekebun sebelum ini memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengusiran dan memohon perintah mandamus supaya tanah yang terlibat diberikan kepada mereka atau wakil yang mereka namakan.
Sumber: Bernama