
Dana kekayaan negara Qatar dilapor telah menyekat cadangan pengurusan pengeluar kereta terkemuka Jerman, Volkswagen, untuk bekerjasama dengan firma pertahanan Israel bagi menghasilkan komponen sistem peluru berpandu.
Menurut laporan akhbar tempatan Bild, pelabur dari Qatar yang merupakan pemegang saham ketiga terbesar dalam Kumpulan Volkswagen, bertindak menolak rancangan untuk menggunakan kilang syarikat itu di Osnabruck bagi pengeluaran komponen peluru berpandu dan kenderaan ketenteraan.
Langkah ini diambil susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume pada Mac lalu, yang memaklumkan bahawa syarikat berkenaan akan menghentikan pengeluaran kenderaan awam di kilang Osnabruck menjelang tahun 2027. Beliau turut mengesahkan rundingan dengan beberapa firma pertahanan untuk mengambil alih kilang tersebut bagi tujuan pengeluaran ketenteraan, namun tidak mendedahkan butiran lanjut pada ketika itu.
Rancangan kerjasama antara Volkswagen dan syarikat milik kerajaan Israel, Rafael Advanced Defense Systems, telah mencetuskan kontroversi dan bantahan hebat di Jerman sebelum ini.
Cadangan tersebut menerima kritikan hebat daripada pekerja Volkswagen sendiri, aktivis keamanan, serta parti politik pembangkang. Mereka menegaskan bahawa syarikat gergasi automotif itu sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengeluaran sektor awam.
Malah, pertubuhan Osnabruck Peace Initiative (OFRI) telah menganjurkan beberapa siri demonstrasi dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi mendesak pengurusan Volkswagen membatalkan sebarang kontrak berkaitan pertahanan dan ketenteraan.
Di peringkat politik, parti pembangkang Jerman menyifatkan rancangan kerjasama dengan firma Israel itu sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima”. Mereka membangkitkan isu serangan ketenteraan berterusan oleh kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu di seluruh Timur Tengah, serta menuduh rejim itu melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
SUMBER: TRT World / Agensi Anadolu (AA)