Pemerintah de facto Sudan tolak cadangan gencatan senjata AS

Presiden de facto Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang dipimpinnya dengan kumpulan pemberontak Pasukan Sokongan Pantas (RSF), menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan SAF, dokumen yang dikemukakan oleh penasihat AS, Massad Boulos, dianggap “kertas kerja terburuk yang pernah dibentangkan” kerana ia mencadangkan pembubaran semua perkhidmatan keselamatan, mengekalkan pemberontak di kawasan mereka, dan membatalkan kewujudan angkatan bersenjata. Al-Burhan menuduh penasihat itu cuba mengenakan syarat ke atas beberapa pihak dan menyatakan kebimbangannya bahawa Boulos boleh menjadi penghalang kepada keamanan di Sudan.

AS bersama Arab Saudi, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusaha menjadi pengantara dalam konflik berlarutan di Sudan. Al-Burhan merampas kuasa pada 2021 bersama Ketua RSF, Mohammed Hamdan Daglo. Pada April 2023, puluhan ribu pejuang RSF memberontak terhadap penggabungan ke dalam SAF dan menyerang tentera serta orang awam. Kini, RSF menguasai kira-kira separuh wilayah berpenduduk Sudan.

Kerajaan Al-Burhan mendakwa UAE menyokong RSF sejak permulaan perang saudara, dakwaan yang dinafikan UAE dan turut disokong pegawai PBB serta diplomat. RSF bersetuju untuk gencatan senjata awal bulan ini, namun konflik terus berlanjutan. Menurut PBB, kira-kira 40,000 orang kehilangan tempat tinggal di Wilayah Kordofan sejak akhir Oktober.

Al-Burhan menegaskan bahawa gencatan senjata hanya boleh dipertimbangkan jika RSF berundur dari semua bandar yang didudukinya sejak Mei 2023, sambil menegaskan “kami bukan penyokong perang dan kami tidak menolak keamanan, tetapi tiada sesiapa boleh mengancam kami atau menentukan syarat kepada kami.”

Sumber: BERNAMA-DPA

Exit mobile version