
KHARTOUM – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penderitaan rakyat Sudan yang melarikan diri dari keganasan di Darfur sebagai ‘tidak terungkap’, dengan lebih separuh mangsa pelarian merupakan kanak-kanak.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, selepas melawat kawasan Tawila di Darfur Utara pada Ahad, berkata situasi yang dilihatnya amat memilukan.
“Penderitaan di Tawila tidak dapat digambarkan. Lebih separuh yang melarikan diri ialah kanak-kanak”, katanya menerusi hantaran di X.
Beliau turut berkongsi kisah seorang wanita cedera yang tiba di kem pelarian sambil mendukung anak kepada rakannya yang kelaparan selepas terselamat daripada serangan.
“Mereka hanya mahu tahu, adakah bantuan akan tiba?” katanya.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Fletcher bertemu dengan wanita-wanita yang melarikan diri dari El-Fasher beberapa minggu lalu, masing-masing membawa cerita ngeri mengenai keganasan brutal di kawasan yang kini dikuasai Rapid Support Forces (RSF).
“Dunia tidak melindungi mereka. Kita mesti lakukan lebih baik,” tegas Fletcher.
PBB memaklumkan Fletcher turut melawat El-Geneina di Darfur Barat serta Zalingei di Darfur Tengah, selain mengadakan pertemuan dengan Ketua Majlis Kedaulatan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, di Port Sudan awal minggu ini.
Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan lebih 99,000 penduduk telah melarikan diri dari El-Fasher dan kampung-kampung sekitarnya sejak 26 Oktober.
Bulan lalu, RSF merampas El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara dan didakwa melakukan pembunuhan besar-besaran. Kumpulan itu kini menguasai lima negeri Darfur, manakala tentera Sudan mengekalkan kawalan ke atas kebanyakan 13 negeri lain termasuk Khartoum.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang bermula sejak April 2023 telah meragut sekurang-kurangnya 40,000 nyawa dan memaksa 12 juta orang meninggalkan kediaman, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Anadolu