Pengerusi, Ahli Lembaga Festival Adelaide Letak Jawatan Susulan Larangan Terhadap Penulis Palestin

Sebuah festival seni terkemuka di Australia kini berdepan krisis besar selepas pengerusi dan tiga ahli lembaganya meletak jawatan susulan tindakan badan itu melarang penyertaan seorang penulis Palestin-Australia, Dr. Randa Abdel Fattah. Keputusan tersebut telah mencetuskan kemarahan komuniti seni dan pengunduran beramai-ramai oleh sekurang-kurangnya 50 penulis lain sebagai tanda protes.

Kontroversi bermula apabila Lembaga Festival Adelaide membatalkan jemputan Dr. Randa daripada acara Minggu Penulis yang dijadualkan pada Februari depan. Lembaga pengarah mendakwa penyertaan penulis itu “tidak sensitif dari segi budaya” memandangkan tempoh masa yang terlalu dekat dengan kejadian tembakan maut di Pantai Bondi, Sydney pada Disember lalu yang mengorbankan 15 orang semasa sambutan Hanukkah.

Dr. Randa, yang juga seorang ahli akademik di Universiti Macquarie dan penyelidik isu Islamofobia, menyifatkan larangan tersebut sebagai tindakan rasisme anti-Palestin dan penapisan karya yang tidak tahu malu. Penulis terkenal lain, termasuk Kathy Lette, turut memboikot festival tersebut dan menyatakan bahawa tindakan mendiskriminasi rakyat Palestin-Australia atas alasan sensitiviti budaya hanya akan memecahbelahkan masyarakat.

Ekoran reaksi keras komuniti, Pengarah Eksekutif Festival, Julian Hobba, mengesahkan peletakan jawatan barisan kepimpinan tertinggi festival itu. Beliau mengakui badan seni berkenaan kini berada dalam situasi yang amat kompleks dan belum pernah terjadi sebelum ini.

Dalam pada itu, suhu politik di Australia semakin panas apabila Perdana Menteri Anthony Albanese mengumumkan parlimen akan dipanggil semula untuk meluluskan undang-undang ucapan kebencian yang lebih ketat. Kerajaan negeri New South Wales turut memperkenalkan peraturan baharu bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan mengenakan denda dan memotong bekalan asas kepada premis yang digunakan oleh “pendakwah kebencian,” namun langkah itu dikritik oleh sesetengah pihak sebagai ancaman kepada kebebasan bersuara yang aman.

Sumber: Reuters / TRT World

Exit mobile version