
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) dilaporkan sedang mempertingkatkan perancangan rapi bagi kemungkinan operasi ketenteraan di Cuba, susulan arahan terbaharu daripada pentadbiran Presiden Donald Trump.
Laporan yang diterbitkan oleh USA Today dengan memetik sumber dalaman mendedahkan bahawa arahan telah dikeluarkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan aset dan strategi, sekiranya White House mengarahkan tindakan fizikal ke atas negara pulau tersebut.
Isyarat ‘Singgah’ di Cuba Selepas Iran
Perkembangan ini menyusul selepas kenyataan terbuka Trump pada Isnin lalu yang melabel Cuba sebagai “negara gagal”. Beliau turut memberi bayangan bahawa tentera AS mungkin akan “singgah di Cuba” selepas berakhirnya konflik semasa dengan Iran.
Sebelum ini, Trump juga pernah menggunakan istilah “mengambil alih” atau “membebaskan” Cuba, yang memberi petanda kemungkinan berlakunya peralihan daripada tekanan ekonomi kepada tindakan ketenteraan secara langsung.
Respon Pentagon dan White House
Portal berita Zeteo turut melaporkan bahawa pegawai-pegawai keselamatan AS telah menerima “arahan baharu” untuk mempergiatkan perancangan kontingensi terhadap Cuba.
Walau bagaimanapun, jurucakap Pentagon ketika dihubungi Anadolu Agency enggan mengulas lanjut mengenai butiran khusus.
“Kami tidak akan membuat spekulasi mengenai senario hipotetikal. Jabatan ini sentiasa merancang untuk pelbagai kemungkinan dan kekal bersedia untuk melaksanakan arahan Presiden,” kata jurucakap berkenaan.
Cuba Tegaskan Kedaulatan, Terbuka Untuk Dialog
Timbalan Menteri Luar Cuba, Anayansi Rodriguez Camejo, dalam reaksi awalnya menegaskan bahawa sistem politik dan kepimpinan negaranya adalah hak mutlak rakyat Cuba dan “tidak bersedia untuk dirundingkan.”
Namun begitu, beliau memberikan isyarat bahawa Havana tetap terbuka untuk mengadakan dialog mengenai isu-isu kerjasama yang melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Krisis Ekonomi Meruncing
Cuba kini sedang berdepan dengan krisis ekonomi paling teruk dalam tempoh beberapa dekad, yang menyaksikan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran serta kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, dan bahan api.
Kerajaan Havana menegaskan bahawa penderitaan rakyat mereka adalah kesan langsung daripada sekatan ekonomi (embargo) AS yang telah berlarutan selama berpuluh tahun. Sebaliknya, Washington berhujah bahawa kegagalan struktur ekonomi dalaman rejim Cuba adalah punca sebenar krisis tersebut.
SUMBER: TRT World / Agensi / Anadolu