
Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan utama kepada pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Antibuli 2025 yang dijadual bagi bacaan kali kedua, selepas selesai sesi soal jawab lisan. RUU tersebut menjadi antara agenda penting apabila Ahli-ahli Parlimen dijangka mengemukakan pandangan berhubung usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli di sekolah, institusi latihan serta persekitaran kerja.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang diterbitkan di laman rasmi Parlimen, sesi soal jawab lisan dimulakan dengan pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai rancangan Kementerian Kewangan untuk meneliti kemungkinan menggantikan skim subsidi semasa dengan bantuan sosial melalui MyKad, susulan kejayaan mekanisme agihan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula meminta penjelasan Menteri Ekonomi mengenai perkembangan rancangan pengelasan bantuan kerajaan berasaskan pendapatan boleh guna, bagi memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil termasuk kepada kelompok T20 yang turut berdepan tekanan kos sara hidup.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) turut mengemukakan soalan kepada Menteri Komunikasi berhubung cadangan pindaan terhadap Akta FINAS 1981 untuk meliputi kandungan dalam talian seperti penstriman dan media sosial, sejajar perkembangan pesat industri kreatif digital.
Antara soalan lain yang menarik perhatian ialah pertanyaan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) kepada Menteri Pendidikan mengenai sama ada terdapat rancangan untuk mewujudkan jawatan warden secara khusus di sekolah yang memerlukan kawalan dan pemantauan lebih sistematik.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 35 hari ini dijadual tamat Khamis, menandakan penutup siri perbahasan penting termasuk beberapa RUU berkaitan kebajikan rakyat dan pembaharuan pentadbiran.
Sumber: Bernama