
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat sejarah apabila menghantar bahan api penerbangan mampan (SAF) pertama buatan Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk digunakan oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
SAF itu akan digunakan bagi penerbangan harian Malaysia Airlines MH2 dari Kuala Lumpur ke London antara 1 hingga 16 September, sekali gus menjadi langkah penting dalam penyepaduan bahan api mesra alam ke dalam operasi penerbangan komersial negara.
Dihasilkan di kemudahan Petronas, SAF berkenaan telah diperakui oleh Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) serta memenuhi keperluan CORSIA. Ia dihantar terus ke KLIA melalui saluran paip milik Malaysian Refining Company (MRCSB), memastikan bekalan yang stabil dan bersepadu.
Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan Petronas, Ahmad Adly Alias berkata pencapaian itu mengukuhkan peranan syarikat sebagai peneraju dalam usaha global penyahkarbonan dan aspirasi sifar bersih karbon negara.
“Penyahkarbonan industri penerbangan memerlukan laluan yang boleh dipercayai dan SAF adalah penyelesaian segera tersedia ketika ini. Projek perintis ini adalah pelaburan strategik jangka panjang untuk membina teknologi, infrastruktur serta bakat bagi menyampaikan penyelesaian yang kos efektif dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah kejayaan itu turut menyokong sasaran kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus mengukuhkan keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan industri penerbangan mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata kolaborasi kukuh antara industri adalah kunci untuk meningkatkan pengeluaran SAF agar lebih mudah diakses, berpatutan dan tersedia secara meluas.
“MAG amat teruja dengan kemajuan ini dan komited untuk menerajui inisiatif yang mempercepatkan penggunaan SAF, sekali gus menyokong perjalanan Malaysia dan global ke arah masa depan penerbangan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
— BERNAMA