PlayStation Network Alami Gangguan Perkhidmatan Menjelang Pelancaran Grand Theft Auto VI

PlayStation melaporkan gangguan perkhidmatan yang menjejaskan beberapa ciri rangkaiannya pada Rabu, hanya beberapa jam sebelum pelancaran rasmi permainan video terbitan Rockstar Games yang paling dinanti-nantikan, Grand Theft Auto VI, susulan aduan masalah meluas daripada pengguna platform berkenaan.

“Anda mungkin menghadapi kesukaran untuk melancarkan permainan, aplikasi atau ciri rangkaian. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran anda,” maklum Sony menerusi satu notis di laman status rangkaiannya.

Bagaimanapun, syarikat gergasi teknologi itu tidak mendedahkan punca sebenar gangguan terbabit atau mengesahkan sama ada ia berkait rapat dengan lonjakan trafik pengguna menjelang pelancaran permainan berkenaan.

Grand Theft Auto VI, atau lebih dikenali sebagai GTA VI, dijadualkan mula tersedia pada tengah malam Khamis mengikut zon waktu masing-masing di seluruh dunia.

Terdahulu, Sony turut mengeluarkan kemas kini sistem mandatori bagi konsol PlayStation 5 sebagai persiapan menjelang pelancaran judul permainan tersebut.

Gangguan perkhidmatan ini berlaku di tengah-tengah rentetan masalah teknikal yang turut menjejaskan beberapa platform utama Amerika Syarikat (AS) kebelakangan ini, termasuk Microsoft 365, Apple serta perkhidmatan perbankan.

Pegawai persekutuan AS sebelum ini mengaitkan insiden-insiden berkenaan dengan proses kemas kini perisian rutin serta bebanan pengkomputeran yang tinggi, dan bukannya berpunca daripada serangan siber.

Sumber: Agensi Anadolu (AA)

↑
Exit mobile version