
Program perkongsian sekolah Instagram milik Meta di Amerika Syarikat (AS), yang dipromosikan sebagai inisiatif bagi meningkatkan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak, sebenarnya turut bertujuan menarik lebih ramai pengguna remaja, lapor The Independent pada Rabu.
Syarikat gergasi media sosial itu melancarkan ‘Projek Gryffindor’ pada tahun 2025 untuk menghubungkan pelajar, ibu bapa dan komuniti sekolah menerusi platform Instagram.
Inisiatif berkenaan menggalakkan pelajar memaparkan gabungan sekolah masing-masing pada profil mereka, selain merangkumi perancangan untuk mewujudkan direktori pelajar yang membolehkan pengguna berhubung dengan rakan-rakan lain dari sekolah yang sama.
Menurut dokumen dalaman Meta yang diperoleh oleh rangkaian berita NPR, hampir 17,000 buah sekolah telah menyertai program tersebut menjelang September lalu. Nama projek itu merujuk kepada Gryffindor, iaitu salah sebuah daripada empat rumah sukan atau asrama sekolah dalam siri popular Harry Potter.
Meta sebelum ini menyatakan bahawa inisiatif tersebut direka khusus bagi menyediakan pengalaman penggunaan Instagram yang lebih selamat kepada kanak-kanak, mencegah gejala buli serta membantu ibu bapa dan pelajar sentiasa peka dengan aktiviti semasa sekolah.
Bagaimanapun, pembentangan dalaman syarikat itu mendedahkan bahawa Meta turut melihat rangkaian sekolah berkenaan sebagai strategi untuk memikat pengguna baharu serta mendorong pengguna sedia ada menjemput rakan-rakan lain menyertai Instagram.
“Kami percaya sambungan rangkaian ini akan memacu pemerolehan pengguna secara organik dan tidak terikat,” menurut satu slaid pembentangan dalaman yang merujuk kepada potensi rangkaian sekolah membawa masuk pengguna baharu ke platform tersebut.
Satu lagi dokumen pembentangan bertarikh tahun 2023 pula secara terang-terangan menyifatkan program itu sebagai kaedah untuk “memberikan remaja alasan baharu bagi menyertai atau mencari lebih banyak nilai dalam IG (Instagram).”
“Strategi semasa kami yang bergantung kepada remaja ‘pengguna utama’ (power users) untuk menarik rakan-rakan yang kurang aktif ke IG mungkin tidak berkesan sekiranya terdapat keseluruhan komuniti remaja yang masih belum menyertai IG,” jelas dokumen berkenaan.
Dokumen-dokumen dalaman tersebut diperoleh melalui proses penemuan bukti dalam satu tindakan saman berbilang daerah yang mendakwa platform media sosial direka bentuk dengan cara yang memudaratkan pengguna di bawah umur 18 tahun.
Tuntutan mahkamah itu turut mendakwa bahawa syarikat-syarikat media sosial menyedari risiko yang berkait rapat dengan produk mereka, namun gagal mendedahkannya secara telus kepada para pengguna.
Selain Meta, syarikat teknologi gergasi lain iaitu TikTok, Google dan Snap turut dinamakan sebagai defendan dalam prosiding undang-undang berkenaan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)