Populariti Netanyahu Merosot, Israel Umum Pilihan Raya Umum 27 Oktober

Parlimen Israel (Knesset) mengumumkan bahawa pilihan raya kebangsaan bakal diadakan pada 27 Oktober depan, tarikh akhir yang dibenarkan oleh undang-undang. Proses undian itu dilihat secara meluas sebagai referendum rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, terutamanya melibatkan isu perang dan dakwaan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Semenanjung Gaza.

Pengumuman ini dibuat susulan langkah Knesset yang dijadualkan menamatkan penggal semasanya pada 17 Julai ini. Ini gus menyaksikan gabungan pemerintah bakal melengkapkan penggal penuh empat tahun buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad.

“Memandangkan Knesset semasa dijangka berkhidmat sehingga tamat tempoh dan tarikh pilihan raya umum telah ditetapkan oleh perundangan pada 27 Oktober tanpa sebarang niat untuk memendekkannya, maka tiada keperluan untuk menggubal Undang-Undang Pembubaran Knesset,” menurut kenyataan rasmi parlimen pada Ahad.

Netanyahu, 76, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara itu, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding semula dan menegaskan bahawa beliau “bertekad untuk menang”.

Majoriti Mahu Netanyahu Dipecat

Bagaimanapun, tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan majoriti rakyat Israel mahukan beliau berundur daripada tampuk kepimpinan negara, dengan bekas Ketua Turus Tentera, Gadi Eisenkot, kini muncul sebagai pesaing utama.

Tinjauan oleh Universiti Ibrani Baitulmaqdis mendedahkan sokongan terhadap Netanyahu menjunam daripada 40.5 peratus pada awal Mac kepada hanya 29.4 peratus pada Jun. Tinjauan tersebut turut mendapati lebih 92 peratus rakyat Israel percaya bahawa Iran telah memenangi krisis perang di Timur Tengah.

Sentimen awam dilapor semakin kritikal ekoran perjanjian gencatan senjata pasca-perang antara Israel-AS menentang Iran pada akhir Februari lalu, yang menyaksikan Washington dan Tehran mencapai persetujuan yang dianggap berat sebelah serta merugikan Israel. Selain itu, kemarahan rakyat turut berpunca daripada pelbagai kegagalan sistem keselamatan negara.

Sebagai rekod, pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap sebulat suara terhadap Netanyahu dan Menteri Pertahanan ketika itu, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Ia termasuk pertuduhan menggunakan kebuluran sebagai taktik peperangan, pembunuhan, dan penganiayaan bermula 8 Oktober 2023.

Netanyahu turut menerima kecaman antarabangsa atas kempen ketenteraan di Gaza yang telah mengorbankan hampir 75,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, di sebalik pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata tajaan AS yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Isu Khidmat Tentera Golongan Ultra-Ortodoks Cetus Perbalahan

Menjelang pilihan raya, kerajaan gabungan sayap kanan pimpinan Netanyahu kini sedang terdesak untuk meluluskan beberapa siri rang undang-undang di parlimen bagi memperkukuh kedudukan politik mereka.

Namun begitu, sokongan pengundi dijangka terjejas ekoran kontroversi undang-undang mengenai pengecualian khidmat tentera wajib bagi lelaki Yahudi ultra-Ortodoks (Haredi). Menurut laporan akhbar Yedioth Ahronoth, jawatankuasa parlimen telah meluluskan perintah sementara untuk membekukan penahanan golongan Haredi yang mengelak daripada menyertai tentera kerana belajar di seminari agama (yeshiva).

Langkah itu diambil selepas sekutu politik utama Netanyahu mengancam untuk menggulingkan kerajaan sekiranya kumpulan pengundi mereka dipaksa menyertai latihan ketenteraan. Tindakan ini bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada pihak tentera dan sebahagian besar masyarakat sivil Israel yang menegaskan bahawa pendaftaran berskala besar amat diperlukan bagi menampung kekuatan angkatan tentera yang semakin melemah akibat peperangan yang berlarutan.

SUMBER: TRT World / AFP / Agensi

Exit mobile version