Projek Penempatan E1 Israel: Antara Tawar-Menawar Politik dan Pengilhakan De Facto Tebing Barat

Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu telah melaksanakan pelbagai strategi bagi mengekalkan kuasa dan melindungi kepentingan peribadinya di tengah-tengah tuduhan rasuah yang berterusan serta prosiding undang-undang yang mengancam masa depan politiknya.

Tumpuan utama kerajaannya untuk mengukuhkan kawalan Israel ke atas Tebing Barat yang diduduki adalah menerusi peluasan penempatan secara sistematik, khususnya dengan menghidupkan semula projek E1 yang pada asalnya dicadangkan pada tahun 1994 di bawah bekas Perdana Menteri Yitzhak Rabin sebelum dibekukan selama lebih tiga dekad.

Projek E1 Sebagai Alat Mobilisasi Pilihan Raya Sayap Kanan

Projek penempatan E1 secara langsung mengancam penyelesaian dua negara dengan menjejaskan usaha penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya. Meliputi kawasan seluas kira-kira 12 kilometer persegi (4.6 batu persegi) antara Ma’ale Adumim dan Pisgat Ze’ev—berhampiran Anata, al-Issawiya, al-Za’ayyim, al-Eizariya dan Abu Dis—projek ini merangkumi pembinaan 3,401 unit penempatan yang bakal memisahkan bahagian utara dan selatan Tebing Barat, mengasingkan Baitulmaqdis, serta memudahkan proses pengilhakannya.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah mengetatkan kawalannya ke atas Tebing Barat yang diduduki dengan memperluas rancangan penempatan di utara wilayah itu selain memajukan projek E1 di bahagian tengah Tebing Barat. Pada 11 September 2025, Netanyahu menandatangani perjanjian untuk meneruskan projek E1 semasa lawatannya ke Ma’ale Adumim, sambil secara terang-terangan menolak penubuhan negara Palestin.

Menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober 2026, kerajaan Netanyahu telah mengeluarkan tender No. 186/2026 bagi membina 1,234 unit penempatan di selatan E1. Walaupun tarikh akhir bidaan kekal pada 19 Oktober, Peguam Negara Gali Baharav-Miara menangguhkan proses semakan bidaan tersebut sehingga 19 November bagi mengelakkan eksploitasi politik pilihan raya. Menteri Kewangan Bezalel Smotrich membantah keputusan itu dengan menuduhnya bersikap berat sebelah secara politik bagi memihak kepada ketua pembangkang, Gadi Eisenkot.

Pada 5 November 2026, sejurus selepas pilihan raya, Kementerian Pembinaan dan Perumahan Israel mengumumkan jadual waktu yang disemak semula bagi tender E1 No. 460/2025 yang melibatkan 2,167 unit penempatan tambahan, dengan sesi pembidaan dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 28 Disember. Secara keseluruhannya, kedua-dua tender tersebut merangkumi 3,401 unit, sekali gus membuktikan usaha berterusan Israel memajukan E1 meskipun berdepan bantahan undang-undang dan politik.

Di tengah-tengah usaha membentuk kerajaan baharu, Netanyahu dan sekutunya berusaha memajukan projek E1 sebagai langkah terakhir untuk kembali memegang tampuk kuasa. Pengeluaran tender itu menyusuli tindakan perobohan rumah rakyat Palestin, kemusnahan harta benda serta pemindahan paksa penduduk, yang mencerminkan sikap tidak peduli kerajaan tersebut terhadap undang-undang antarabangsa dan gesaan menghentikan peluasan penempatan.

Smotrich sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi: “Orang Yahudi adalah bangsa pilihan Tuhan, dan Judea serta Samaria (Tebing Barat) adalah tanah milik mereka; oleh itu, mereka tidak tertakluk kepada undang-undang antarabangsa.” Sekiranya Netanyahu kekal berkuasa, keadaan ini berpotensi mempercepatkan pelaksanaan E1, memecahbelahkan lagi Tebing Barat dan memudahkan pengilhakan muktamad oleh Israel.

Tender E1 Cetus Gesaan Sidang Tergempar Majlis Keselamatan PBB

Walaupun berdepan tekanan antarabangsa, kerajaan sayap kanan Israel tetap meneruskan peluasan penempatan di Tebing Barat yang diduduki. Denmark, dengan sokongan beberapa negara Eropah, kini berusaha menggesa sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan bagi membincangkan projek E1 yang melibatkan 1,234 unit penempatan di timur Baitulmaqdis yang diduduki, menjelang semakan bidaan tender No. 186/2026 pada 19 November ini.

Projek berkenaan menimbulkan kebimbangan serius di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya berkaitan hak penentuan nasib sendiri (Piagam PBB, Perkara 1(2)) serta larangan penggunaan kekerasan (Perkara 2(4)). Bagaimanapun, sebarang resolusi substantif Majlis Keselamatan memerlukan sembilan undi menyokong tanpa kuasa veto daripada mana-mana anggota tetap, yang berkemungkinan besar akan digunakan oleh Amerika Syarikat.

Sekalipun resolusi tersebut berjaya diluluskan, pelaksanaannya masih tidak menentu memandangkan Israel terus memperluas penempatan haram meskipun wujud Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016) yang menuntut pemberhentian segera aktiviti penempatan, serta pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024 yang mengesahkan bahawa kehadiran berterusan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang dan wajib ditamatkan secepat mungkin.

Sementara itu, Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband menegaskan semula komitmen United Kingdom (UK) untuk melindungi penyelesaian dua negara dengan mengumumkan langkah mengharamkan import dari penempatan haram Israel serta mengenakan sekatan ke atas entiti yang membiayai atau memudahkan peluasannya. Kenyataan beliau mencerminkan penentangan yang semakin memuncak terhadap dasar penempatan Israel, termasuk dalam kalangan sekutu tradisinya sendiri. Namun, di sebalik kecaman antarabangsa yang kian meningkat, masyarakat dunia masih gagal mengambil tindakan berkesan bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencabulan undang-undang antarabangsa.

Hala Tuju Dasar Bakal Kerajaan Baharu Israel

Susulan pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu, parti Likud pimpinan Netanyahu muncul sebagai parti terbesar tetapi gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, sekali gus mendorong Presiden Israel Isaac Herzog menugaskan Eisenkot untuk membentuk kerajaan baharu.

Eisenkot turut menolak penyelesaian dua negara dan menyifatkan sesiapa sahaja yang memperjuangkannya selepas peristiwa 7 Oktober 2023 sebagai “berkhayal”. Namun begitu, beliau menganggap pelaksanaan segera projek penempatan E1 sebagai satu kesilapan besar yang menjejaskan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa. Pendirian beliau itu lebih mencerminkan bantahan terhadap masa pelaksanaan projek dan kesan diplomatiknya, bukannya penolakan mutlak terhadap peluasan penempatan atau percanggahan dasar yang ketara dengan Netanyahu berhubung penubuhan negara Palestin.

Rakyat Palestin terus menyemai harapan di tengah-tengah penderitaan di bawah pendudukan Israel, ketika Gaza berdepan kemusnahan meluas dan mengorbankan kira-kira 75,000 nyawa dalam perang yang disifatkan sebagai genosid. Pada masa yang sama, keganasan peneroka haram yang semakin memuncak di Tebing Barat—dengan sokongan dasar peluasan Israel—terus mengakibatkan kematian, kemusnahan dan pemindahan paksa penduduk di tengah-tengah pencabulan undang-undang antarabangsa serta sikap berpeluk tubuh masyarakat antarabangsa. Walaupun usaha politik dan diplomatik antarabangsa gagal menegakkan keadilan dalam salah satu konflik paling berpanjangan dalam sejarah moden ini, rakyat Palestin terus membina ketabahan dan harapan berpaksikan pegangan serta keyakinan mereka.

Sumber: Agensi Anadolu (AA)

↑
Exit mobile version