
Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila beliau bertindak menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada hari Ahad.
Pencerobohan tersebut dilakukan di bawah perlindungan ketat pasukan polis Israel, di tengah-tengah laporan mengenai peningkatan pelanggaran hak terhadap tempat-tempat suci umat Islam dan Kristian di wilayah berkenaan.
Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, pencerobohan ini berlaku ketika pihak berkuasa Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap akses jemaah Palestin untuk menunaikan solat di masjid berkenaan. Ben-Gvir, yang dikenali dengan fahaman ekstremisnya, sering melakukan provokasi sedemikian tanpa sebarang pengumuman awal bagi mengelakkan bantahan besar-besaran.
Melanggar Protokol dan Kecaman Antarabangsa
Berdasarkan peraturan sedia ada, menteri-menteri Israel secara teknikalnya memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk memasuki kompleks Al-Aqsa. Walau bagaimanapun, tindakan Ben-Gvir ini dilihat sebagai penghinaan berterusan terhadap sensitiviti agama dan undang-undang antarabangsa, meskipun beliau sering menerima kecaman keras daripada negara-negara Arab dan komuniti global.
Untuk rekod, Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan merupakan tapak ketiga paling suci di dunia selepas Mekah dan Madinah.
Tekanan Terhadap Penganut Kristian
Insiden pada hari Ahad itu berlaku sejurus selepas pasukan keselamatan Israel bertindak menukarkan sebahagian besar Baitulmaqdis Timur—termasuk Kota Lama dan Pintu Gerbang Damsyik—menjadi zon ketenteraan pada hari Sabtu.
Pihak berkuasa Israel telah menubuhkan pelbagai pusat pemeriksaan semasa perayaan Sabtu Suci (Holy Saturday) di Gereja Makam Suci (Church of the Holy Sepulchre). Tindakan ini menyukarkan penganut Kristian untuk beribadah, ditambah pula dengan tindakan provokasi menutup gereja tersebut selama 40 hari sebelum ini atas alasan “kebimbangan keselamatan.”
Tindakan sistematik rejim Israel terhadap tapak suci pelbagai agama ini terus memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan, di mana pemimpin Palestin menyifatkannya sebagai usaha untuk menghapuskan identiti Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.
SUMBER: Agensi Anadolu & TRT World