Rampasan Kapal Bantuan Gaza: Itali Desak Israel Bebaskan Ahli Parlimen, Wartawan Ditahan

Kerajaan Itali mendesak Israel agar segera membebaskan kesemua aktivis kemanusiaan antarabangsa yang ditahan, termasuk seorang ahli parlimen dan seorang wartawan warga Itali.

Tuntutan tersebut disuarakan oleh Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, susulan tindakan agresif tentera rejim Zionis merampas konvoi Global Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar Itali dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu memaklumkan bahawa Tajani telah mengadakan beberapa siri perhubungan kecemasan semalaman dengan rakan sejawatnya dari Israel, Gideon Saar.

“Tajani menegaskan agar warga Itali yang terlibat — termasuk seorang ahli Parlimen Itali dan seorang wartawan — dibebaskan dan dibenarkan berlepas pulang secepat mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

Tajani turut mengulangi pendirian tegas Itali mengenai keperluan mendesak untuk melindungi keselamatan fizikal serta hak-hak asasi setiap aktivis yang ditahan.

Prosedur Pengenalan Diri di Pelabuhan Ashdod

Laporan semasa mendedahkan bahawa proses menurunkan kumpulan pertama aktivis dari kapal tersebut telah pun bermula di Pelabuhan Ashdod, manakala kumpulan kedua dijangka tiba di lokasi sama lewat hari ini.

Kementerian Luar Itali mengesahkan bahawa barisan pegawai daripada Kedutaan Itali di Tel Aviv kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Israel bagi menyediakan bantuan konsular yang sewajarnya kepada warga mereka.

“Kesemua aktivis terbabit dijangka akan dipindahkan ke sebuah fasiliti khas bagi menjalani prosedur pengenalan diri sebelum dibenarkan meninggalkan negara itu,” tambah kenyataan itu lagi.

Misi 44 Negara Disekat

Terdahulu, pihak penganjur Global Sumud Flotilla mengesahkan bahawa kesemua 50 buah kapal dalam konvoi bantuan kemanusiaan mereka telah dirampas sepenuhnya oleh pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa.

Misi keamanan tersebut membawa seramai 428 orang peserta dari 44 buah negara yang berbeza, termasuk 78 orang warga Turki, dalam usaha murni mereka untuk menembus sekatan laut yang dikenakan oleh Israel ke atas penduduk Gaza. — Anadolu Agency (AA)

Exit mobile version