
Rekod Dunia Guinness dilaporkan menghentikan semua urusan berkaitan Israel dengan menolak penyerahan baharu, termasuk permohonan untuk mengesahkan rekod pendermaan buah pinggang melibatkan 2,000 rakyat Israel. Menurut laporan media tempatan, keputusan itu disampaikan melalui e-mel kepada kumpulan sukarelawan Gift of Life yang sebelum ini memohon agar pencapaian tersebut direkodkan.
Channel 12 melaporkan bahawa Gift of Life telah membayar yuran rasmi serta menganjurkan sebuah majlis khas di Baitulmaqdis Barat bagi merakam gambar kesemua 2,000 penderma untuk dihantar kepada Guinness. Namun, kumpulan itu menerima makluman bahawa Guinness tidak memproses sebarang permohonan rekod dari Israel.
Gift of Life mendakwa penolakan itu bermotifkan politik dan masih menunggu penjelasan lanjut. Pengerusinya, Rabbi Rachel Haber, menyifatkan tindakan tidak mengiktiraf usaha menyelamatkan nyawa itu sebagai tidak boleh diterima.
Guinness tidak memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.
Laporan ini muncul ketika Israel berdepan pengasingan global yang semakin mendalam susulan tindakan ketenteraan berterusan di Gaza sejak dua tahun lalu, yang mencetuskan boikot akademik, budaya, politik dan sukan oleh pelbagai pihak antarabangsa.
Sejak Oktober 2023, lebih 70,000 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 171,000 lagi cedera. Serangan tersebut menjadikan sebahagian besar wilayah itu musnah dan tidak lagi layak didiami. Walaupun satu perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, tentera Israel didakwa terus melanggar gencatan tersebut dalam beberapa insiden.
Sumber: AA