RKB KPDN: Kuasa aduan di hujung jari, kelulusan lesen lebih pantas

Proses membuat aduan berkaitan harga barangan yang sebelum ini sering dianggap rumit dan memerlukan kehadiran fizikal ke pejabat kerajaan kini dipermudah melalui pelaksanaan sistem e-Aduan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selaras dengan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Pendekatan baharu ini menekankan pemudahan proses, pendigitalan perkhidmatan dan peningkatan kecekapan penyampaian kerajaan, dengan pengguna hanya perlu menghantar gambar, resit serta maklumat lokasi melalui aplikasi WhatsApp atau Kod QR Aduan Suri tanpa perlu hadir ke kaunter. Langkah itu bukan sahaja mengurangkan beban birokrasi, malah mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang melanggar peraturan harga.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata semua aduan yang diterima akan direkodkan terus ke dalam sistem dan disalurkan kepada pegawai penguat kuasa untuk tindakan segera. Menurutnya, tindakan awal boleh diambil dalam tempoh empat hingga lima jam waktu bertugas, manakala kebanyakan aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam bergantung kepada jenis kes dan kelengkapan maklumat yang diterima.

Beliau menjelaskan inisiatif ini amat signifikan di Kelantan yang mempunyai lebih 1.7 juta penduduk dengan hanya 142 anggota penguat kuasa untuk memantau lebih 100,000 premis perniagaan. Aduan pengguna, katanya, berfungsi sebagai petunjuk awal bagi membantu KPDN memfokuskan penguatkuasaan kepada kes berisiko tinggi tanpa perlu pemeriksaan rawak yang memakan masa.

Impak reformasi itu turut dirasai oleh pengguna. Seorang suri rumah, Siti Farhana, 29, berkata sistem e-Aduan menjimatkan masa dan kos kerana aduan boleh dibuat dari rumah tanpa perlu meninggalkan urusan harian. Menurutnya, kemudahan hanya mengambil gambar dan menghantar aduan melalui WhatsApp memberi keyakinan kepada pengguna untuk melaporkan pelanggaran harga.

Pendekatan RKB di KPDN turut merangkumi pemudahcaraan urusan perniagaan, termasuk aspek pelesenan melalui sistem Business Licensing Electronic Support System (BLESS). Melalui pendigitalan ini, tempoh kelulusan Lesen Jualan Langsung berjaya dipendekkan daripada 90 hari kepada hanya 21 hari, sekali gus meningkatkan produktiviti peniaga dan mengurangkan tempoh menunggu yang panjang.

Dalam aspek penguatkuasaan, Azman memaklumkan bukti digital seperti resit pembelian membolehkan tindakan diambil terus di lokasi. Sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, KPDN Kelantan merekodkan sebanyak 838 aduan, kebanyakannya melibatkan jualan melebihi harga kawalan, ketiadaan tanda harga dan penipuan harga makanan.

Bagi pengguna bekerja, sistem itu meningkatkan rasa keadilan dalam pasaran. Seorang pemandu lori, Mohd Firdaus Ismail, 45, berkata tindakan pantas terhadap pelanggaran harga memberi kesan positif kepada pengguna serta mendisiplinkan peniaga. Seorang peruncit kecil, Ahmad Zulkifli, 52, pula menyifatkan e-Aduan membantu mewujudkan persaingan lebih adil apabila penguat kuasa bertindak segera terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version