
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menyiapkan penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 1,217,766 hektar di seluruh negeri, dengan 938,342 hektar daripadanya telah diwartakan sejak tahun 2010 hingga 30 September lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pada hari ini kerajaan negeri turut mewartakan 12 lokaliti baharu melibatkan keluasan keseluruhan 12,370.232 hektar yang merangkumi 36 kampung termasuk Kampung Tebakang Dayak, Kampung Semuja, Kampung Seniawan, Kampung Terbat, Kampung Igom, Kampung Belimbing, Kampung Tabuan Rabak, Kampung Seratau, Kampung Semeru, Kampung Emperoh Gerung dan Kampung Danu.
Menurut beliau, semua tanah tersebut diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) sebagai Rizab Komunal Bumiputera, dan selepas pewartaan itu, kerja penyukatan lot individu serta pengeluaran Surat Hak Milik di bawah Seksyen 18 KTN sedang giat dijalankan di seluruh negeri.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak menegaskan bahawa pengukuran tanah hanya dilaksanakan dengan persetujuan penuntut serta selepas tiada pertikaian sempadan antara pihak terlibat.
“Kerjasama Ketua Kaum, Ketua Masyarakat dan pemilik tanah amat penting agar program ini dapat dijalankan tanpa kelewatan. Penyukatan hanya dilakukan selepas menerima permohonan sah daripada penuntut tanah NCR yang disemak berdasarkan undang-undang dan bukti yang sahih. Kes yang masih dalam pertikaian mahkamah tidak akan disukat sehingga diselesaikan,” katanya.
Pada majlis yang diadakan di Serian Conference Centre itu, kerajaan negeri turut menyerahkan pampasan berjumlah RM9,867,937.55 kepada 57 penerima bagi projek pembangunan infrastruktur di kawasan Serian.
Sumber: Bernama