
Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terkorban manakala beberapa yang lain termasuk kanak-kanak cedera dalam serangan udara terbaharu oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Sumber perubatan di Hospital Al-Shifa mengesahkan bahawa angka korban tersebut dicatatkan selepas serangan udara Israel menyasarkan empat buah pangsapuri kediaman di sekitar Bandar Gaza. Menurut sumber, pesawat pejuang dan helikopter tentera Israel melancarkan serangan serentak ke atas kediaman di bahagian barat dan utara bandar berkenaan. Antara kawasan yang terjejas termasuk kem pelarian Shati, serta kawasan kejiranan Sheikh Radwan, Tel al-Hawa, dan Muhabarat.
Serangan paling tragis dilaporkan berlaku di kawasan Muhabarat, di mana bedilan meranapkan tingkat empat sebuah bangunan pangsapuri milik keluarga Lebid. Insiden itu mengorbankan lima ahli keluarga yang sama, iaitu Hassan Rebah Lebid, isterinya Manar, serta tiga anak mereka, Mohammed, Rahaf, dan Tamim. Bagaimanapun, seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia sembilan tahun, Hala, berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Selain itu, dua lagi mangsa dilaporkan terkorban dalam serangan di sebuah apartmen di Tel al-Hawa. Manakala baki dua lagi korban dicatatkan dalam serangan berasingan yang menyasarkan rumah keluarga Muhanna di kem pelarian Shati serta sebuah kediaman berhampiran persimpangan Abu Amin di Sheikh Ridwan. Dalam pada itu, pihak Hospital Nasser turut mengumumkan kematian seorang wanita akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam satu pengeboman terdahulu oleh Israel di wilayah Mawasi.
Operasi Perobohan Besar-Besaran
Saksi mata melaporkan bahawa pengeboman udara ini berlaku serentak dengan operasi perobohan skala besar yang dijalankan oleh pasukan pendudukan Israel di kawasan bawah kawalan mereka di utara dan selatan Gaza. Di bandar Khan Younis yang terletak di selatan, tentera Israel dilaporkan telah merobohkan sekurang-kurangnya 10 buah bangunan dan kemudahan di bahagian timur bandar, selain melakukan dua lagi operasi perobohan di kawasan kejiranan timur Bandar Gaza.
Sejak kempen ketenteraan bermula pada 8 Oktober 2023, serangan berterusan Israel selama lebih dua tahun di Gaza telah mengorbankan kira-kira 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 173,000 yang lain, dengan majoriti mangsa merupakan golongan wanita dan kanak-kanak. Serangan tersebut juga telah memusnahkan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur di wilayah berkenaan.
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah diisytiharkan secara rasmi pada 10 Oktober 2025, pihak Israel dilaporkan terus melanggar perjanjian tersebut melalui sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan serta siri pengeboman harian. Tindakan pelanggaran gencatan senjata secara berterusan ini telah meragut 936 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 2,903 yang lain, yang sebahagian besarnya juga melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.
(Sumber: TRT World & Agensi)