
Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, terkorban dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan berterusan tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza. Inciden ini menandakan siri pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.
Menurut sumber perubatan tempatan:
-
Deir al-Balah (Tengah Gaza): Tembakan artileri Israel mengenai sebuah bilik darjah yang menjadi tempat perlindungan keluarga pelarian, mengorbankan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
-
Bandar Gaza: Tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin di kejiranan Rimal. Sementara itu, serangan dron menyasarkan sebuah kenderaan awam hingga mengorbankan Youssef Aqila bersama anak perempuannya, Wafaa (9 tahun), pada hari pertama sesi persekolahan baharu mereka.
-
Tuffah & Kem Shati: Serangan udara dan artileri turut merosakkan bekas kompleks komersial Al-Sakhra di Tuffah, menyebabkan sembilan penduduk cedera dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal.
Data Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel telah membunuh 1,344 rakyat Palestin dan mencederakan 4,464 yang lain. Secara keseluruhannya, jumlah korban jiwa di Gaza kini melebihi 73,000 orang dengan lebih 174,000 lagi cedera.
Keganasan Peneroka Haram di Tebing Barat
Keganasan turut meletus di Tebing Barat yang diduduki apabila serangan peneroka haram Israel mengorbankan seorang lelaki Palestin, Omar al-Toubas, selepas ditembak di kepala di kampung Hajja, timur Qalqilya.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, tiga lagi penduduk cedera parah dalam insiden tersebut. Di wilayah Baitulmaqdis, dua peneroka haram turut menyerang seorang lelaki Palestin sehingga mengalami patah tulang tangan dan kecederaan parah pada mata yang memerlukan pembedahan kecemasan.
Sumber: TRT World & Agensi Berita WAFA