
Insiden serangan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 63 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin, sebanyak 4,113 serangan direkodkan dalam tempoh tujuh bulan berkenaan—menunjukkan pertambahan sebanyak 1,589 kes berbanding 2,524 insiden yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa lonjakan ketara ini didorong oleh perluasan pos penempatan haram, langkah mempersenjatai peneroka, serta perlindungan ketenteraan daripada pihak rejim Israel. Kelemahan tindakan dan akauntabiliti peringkat antarabangsa turut menyebabkan tindakan keganasan ini bertukar menjadi strategi terancang bagi memaksa perpindahan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Setakat akhir Julai, data menunjukkan terdapat 592 penempatan dan pos kawalan haram Israel di Tebing Barat, dengan rejim menguasai kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan wilayah tersebut secara haram. Populasi peneroka haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur kini dianggarkan mencecah 780,000 orang.
Secara keseluruhannya, tindakan ketenteraan dan keganasan peneroka haram di Tebing Barat sejak bermulanya konflik di Gaza telah mengorbankan 1,182 rakyat Palestin, mencederakan lebih 12,000 orang, serta menyebabkan sekitar 24,000 individu ditahan.
Sumber: Anadolu Agency (AA) via TRT World