
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Diversatech Fertilizer Sdn. Bhd. (DFSB) bagi pembinaan kilang baja nano berteknologi tinggi di Sabah.
Kilang baja nano yang dijangkakan mula operasi pada 2023 itu dibangunkan sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan akan didirikan di atas tanah 10 ekar milik SLDB di Silabukan, Lahad Datu.
Sejumlah RM40 juta sehingga RM50 juta diperuntukkan untuk pembangunan tersebut.
“Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mendirikan kilang baja moden yang dinamik untuk memenuhi keperluan baja terhadap projek tanaman sawit, padi, getah, buah-buahan serta sayur-sayuran bagi kegunaan rakyat tempatan dan pasaran eksport.” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar.
“Menerusi pembangunan kilang ini juga banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk memajukan masyarakat Sabah dan membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.” tambahnya.
Selain itu, kerjasama itu akan mewujudkan pelbagai aktiviti jualan melalui penjualan baja tanaman kepada peladang-peladang tempatan selain menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia & Filipina.
SLDB memiliki ekuiti sebanyak 51% manakala DFSB memegang 49%.
Menerusi pembangunan kilang data nano yang menggunakan teknologi tinggi, DFSB menjangkakan sebanyak 50,000 sehingga 200,000 tan setahun bagi kapasiti pengeluaran untuk tahun pertama.
Memandang kehadapan, SLDB merancang untuk menjalankan tanaman jangka pendek melibatkan tanaman nanas, halia serta jagung untuk meningkatkan sekuriti makanan dan memberi pulangan kepada peneroka-peneroka Sabah dan rakyat tempatan. – BERNAMA