
Pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG.OG) yakin mampu mengekalkan penguasaan mereka dengan memburu kejuaraan keempat berturut-turut dalam Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-16 yang membuka tirai esok.
Ketua jurulatih SRG.OG, Michael Angelo Boccado atau lebih dikenali sebagai Arcadia berkata, persiapan rapi telah dilakukan termasuk memperkukuh fokus dan konsistensi pemain bagi mempertahankan rekod kejuaraan.
“Musim ini lebih mencabar kerana banyak pasukan menambah pemain baharu dan jurulatih, selain masing-masing berhasrat untuk layak ke siri M. Ini menjadikan saingan kali ini lebih sengit dan kompetitif,” katanya ketika ditemui pada pra-pembukaan MPL semalam.
Beliau menegaskan pengalaman luas yang dimiliki SRG.OG menjadi kelebihan utama dalam mengharungi tekanan kejohanan.
“Kami sudah melalui pelbagai pengalaman – dari berada di puncak kejayaan hingga mengalami kekalahan berturut-turut. Justeru, kami tahu apa yang diperlukan untuk memiliki mentaliti yang kuat,” katanya sambil menambah bahawa pasukannya turut menyediakan strategi baharu bagi menghadapi perubahan meta permainan minggu hadapan.
Sementara itu, pemain SRG.OG, Hazziq Danish Mohamad Rizwan atau Stormie, berkata mereka yakin untuk mengekalkan kejuaraan tetapi tetap berhati-hati agar tidak terlalu selesa.
“Kami rasa mampu mengekalkannya tetapi tidak mahu leka. Kami akan terus berjuang,” ujarnya ringkas.
Sebagai rekod, SRG.OG merupakan pasukan pertama yang memenangi MPL Malaysia selama tiga musim berturut-turut (musim ke-13, ke-14 dan ke-15).
— BERNAMA