MOONTON Rangka Strategi Global, Perkenal Struktur Lima Wilayah e-Sukan MLBB

MOONTON Games hari ini mengumumkan strategi jangka panjang yang transformatif bagi memperluaskan ekosistem e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) ke peringkat global menerusi pengenalan struktur lima wilayah bermula tahun depan.

Langkah ini menyaksikan penjenamaan semula pelan hala tuju e-sukan MLBB yang merangkumi wilayah Asia, Eropah, Afrika, dan Amerika bagi menyatukan persaingan antarabangsa serta memperkasa pembangunan bakat tempatan.

Era Baharu MPL MY

Sebagai sebahagian daripada pengukuhan di pasaran tradisional, liga tempatan iaitu Malaysia Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) bakal memasuki era baharu. Liga tersebut akan diperkukuh menerusi model kerjasama yang melibatkan lapan pasukan terpilih bagi menjamin kestabilan dan kemampanan ekosistem e-sukan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MOONTON Games, Cloud Zhang, berkata inisiatif ini mencerminkan visi syarikat untuk meningkatkan tahap kompetitif MLBB di peringkat dunia.

“Rangka kerja ini menyatukan ekosistem e-sukan MLBB global sambil memperkasa setiap wilayah melalui infrastruktur yang disesuaikan serta laluan pembangunan bakat yang tersusun,” katanya pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia M7 di Jakarta, hari ini.

Turkiye Tuan Rumah M8, MLBB ke Sukan Asia

Dalam majlis yang sama, beberapa pengumuman besar turut dibuat bagi kalendar e-sukan akan datang:

Jelajah Kejuaraan

Bagi meningkatkan intensiti persaingan antara benua, MOONTON turut memperkenalkan Jelajah Kejuaraan, sebuah kejohanan rentas wilayah baharu yang direka khusus untuk melonjakkan tahap penglibatan penonton dan memberikan cabaran lebih sengit kepada pasukan-pasukan profesional dunia.

Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif MOONTON untuk mengekalkan kedudukan MLBB sebagai antara acara e-sukan dengan penglibatan pemain tertinggi di dunia.

BERNAMA

Exit mobile version