Seorang suami dari Ampang, Selangor, berasa buntu selepas terputus hubungan selama seminggu dengan isteri dan empat anaknya akibat banjir yang melanda Hat Yai, Thailand.
Shahrizal Kamarudin, 43, berkata kali terakhir beliau mendengar khabar daripada isterinya, Maimuna Asnan, 37, ialah pada 22 November, ketika dimaklumkan bahawa mereka selamat berlindung di sebuah inap desa, Pani House.
“Kami sepatutnya bercuti pada 21 hingga 24 Nov. Setibanya di Hat Yai pada 21 Nov, kami sempat ke Central Hatyai sebelum kembali ke inap desa untuk makan malam. Pada malam itu, paras air di jalan depan inap desa sudah mula naik. Pemilik inap desa menasihatkan sekiranya hujan berterusan esok, mereka akan memulangkan duit dan mencari hotel lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shahrizal berkata pada pukul 3.30 pagi, pemilik inap desa meminta beliau mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi kira-kira 1.5 kilometer dari penginapan. Bagaimanapun, beliau gagal kembali ke inap desa kerana air naik terlalu cepat, namun dimaklumkan isteri dan anak-anak berada dalam keadaan selamat.
“Bekalan elektrik dipotong menyebabkan saya tidak dapat menghubungi mereka. Pada petang 27 Nov, saya mendapat maklumat mereka selamat tetapi masih tidak dapat memasuki kawasan inap desa kerana hanya boleh dilalui dengan bot,” katanya.
Shahrizal kini berada di pusat pemindahan sementara Hatyairatprachasun School, dibantu oleh penduduk tempatan dan anggota bomba untuk mencari isteri dan anak-anaknya sebaik air surut.
Sumber: BERNAMA