Sukan Asia 2026: PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Adeola Kerana Hadiahkan Emas Sulung Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada atlet karate muda negara, Adeola Fay Robert, di atas kejayaan cemerlang beliau merangkul pingat emas pertama untuk Malaysia pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Menerusi hantaran di laman X rasminya, Perdana Menteri melahirkan harapan agar kejayaan atlet berusia 20 tahun yang berasal dari Sabah itu mampu membakar semangat seluruh anggota kontinjen negara yang sedang berjuang menggalas cabaran di kejohanan berprestij berkenaan.

“Teruskan berjuang dan harumkan nama Malaysia,” ujar beliau.

Tamatkan Penantian Sejak Edisi 2014

Adeola, yang melakukan penampilan sulung pada Sukan Asia kali ini, tampil merangkul pingat emas selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, dengan keputusan 10-6 (6-4) dalam aksi final bagi acara kumite bawah 55 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi.

Kejayaan manis ini bukan sahaja meneruskan momentum peningkatan prestasi atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember lalu, malah turut menamatkan penantian selama 12 tahun skuad karate wanita Malaysia untuk merangkul kilauan emas Sukan Asia sejak kali terakhir dilakukan oleh Syakilla Salni pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai rasmi sejak Sabtu lalu dijadualkan berlangsung sehingga 4 Oktober depan.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version