Sukan Komanwel: PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Amir Daniel, Cipta Sejarah Rangkul Emas Judo Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed, yang mencatatkan sejarah baharu dengan menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara berkenaan di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menerusi hantaran di laman media sosial beliau, Perdana Menteri menzahirkan rasa bangga atas kesungguhan serta semangat pantang menyerah yang ditunjukkan oleh atlet muda berkenaan sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

“Saudara membuktikan bahawa usaha, disiplin dan semangat juang mampu mencipta sejarah. Kita semua bangga,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

Kejutan Tumbangkan Atlet Ranking Ke-41 Dunia

Amir Daniel, yang kini berada di kedudukan ke-117 dunia, menterjemahkan aksi cemerlang pada perlawanan akhir kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki dengan menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen.

Lawan dari Afrika Selatan itu yang berada di ranking ke-41 dunia terpaksa akur dengan kehebatan Amir Daniel, sekali gus menyaksikan lagu Negaraku berkumandang megah di bumi Glasgow.

Kejayaan cemerlang ini bukan sahaja melakar sejarah baharu buat sukan judo tempatan di pentas Komanwel, malah turut menghadiahkan pingat emas kelapan buat keseluruhan kontinjen Malaysia di Glasgow 2026.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Exit mobile version