
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, meletakkan sasaran peribadi agar skuad sepak takraw negara mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2026 menyatakan bahawa kejayaan membawa pulang dua pingat emas pula dianggap sebagai satu bonus besar buat kontinjen negara. Walau bagaimanapun, sasaran rasmi keseluruhan masih belum dimuktamadkan dan bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Bagi edisi di Jepun kali ini, Malaysia dihadkan penyertaan kepada maksimum dua acara bagi kategori lelaki dan wanita. Skuad lelaki akan berentap dalam acara regu dan regu berpasukan, manakala skuad wanita bakal mengalas cabaran menerusi acara double dan kuadran. Pada edisi 2022 di Hangzhou, China, skuad lelaki sekadar membawa pulang pingat perak bagi kedua-dua acara regu dan regu berpasukan.
Mohd Sumali turut mengingatkan semua atlet agar memanfaatkan baki masa persediaan untuk mengekalkan tahap prestasi, menjaga disiplin, serta mengelakkan sebarang kecederaan saat akhir bagi memastikan misi membawa pulang pingat emas berjalan lancar.
Sumber: BERNAMA