Tang Jie-Ee Wei Ukir Sejarah Juara Dunia, Dipuji Bekas Jaguh Negara

Bekas jaguh beregu negara, Koo Kien Keat, menyifatkan kemenangan bersejarah gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, di Kejohanan Dunia sebagai pencapaian kemuncak prestasi yang sempurna dan hadir pada masa paling tepat.

Menurutnya, Ee Wei telah membuktikan dirinya sebagai antara pemain wanita terbaik pernah dilahirkan Malaysia dalam acara beregu campuran, khususnya dengan ketajaman pintasan di bahagian jaring, manakala Tang Jie pula mempamerkan kepantasan serta liputan gelanggang luar biasa.

“Saya secara peribadi telah mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka begitu merendah diri dan saya fikir mereka memang layak mendapat kejayaan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan Wong Pei Tty berkata kemenangan pasangan ranking keempat dunia itu adalah bukti bahawa badminton Malaysia masih berdaya saing di pentas tertinggi dunia.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan pingat emas di Paris membawa makna besar kerana ia mampu menyuntik keyakinan kepada generasi baharu bahawa kerja keras, disiplin, dan keyakinan diri mampu membawa mereka ke puncak dunia.

“Tahniah kepada Tang Jie dan Ee Wei kerana bergelar juara dunia. Mereka mempamerkan semangat juang, keazaman dan perancangan taktikal yang bijak ketika menentang gandingan China.

Untuk mencapai kejayaan lebih besar, mereka perlu kekal merendah diri, mengekalkan komunikasi yang baik, serta berdisiplin dalam latihan dan bermotivasi terhadap matlamat mereka,” katanya.

Sebelum pencapaian ini, rekod terbaik beregu campuran negara di Kejohanan Dunia dicatatkan oleh pasangan Wong Pei Tty-Koo Kien Keat yang mara ke separuh akhir edisi 2006 di Madrid.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia “hadiah Merdeka” paling bermakna apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dengan keputusan 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit.

Sorakan “Merdeka!” bergema di arena, menyemarakkan semangat pasangan negara yang tampil penuh inspirasi dengan gabungan kekuatan, ketepatan dan kesabaran. Ee Wei menguasai bahagian jaring dengan cemerlang manakala Tang Jie mendominasi permainan dari belakang gelanggang untuk menamatkan cabaran gandingan handal China itu.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas dunia dan mencatat sejarah baharu dalam sukan badminton negara.

— BERNAMA

Exit mobile version