
Kejayaan muncul juara beregu campuran bersama Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 di Yatsushiro, Jepun tidak mengubah fokus utama pemain muda negara, Low Zi Yu.
Zi Yu berkata beliau tetap memberikan keutamaan kepada gandingan bersama Noraqilah Maisarah Ramdan dalam acara beregu wanita.
“Saya belum memikirkan sama ada mahu mengikut jejak langkah juara bertahan Kejohanan Dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mahupun peluang beraksi pada kejohanan lebih tinggi bersama Ahmad Redzuan pada masa depan.
“Itu (ikut jejak langkah Tang Jie-Ee Wei) saya tidak fikir lagi kerana perlu melihat kepada perancangan jurulatih dahulu. Buat masa sekarang, saya mahu fokus bersama Noraqilah dahulu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Pada Ahad lepas, gandingan Ahmad Redzuan-Zi Yu mengesahkan kejuaraan pada BAJC selepas menundukkan pasangan China, Zheng Wei Gang-Li Meng Han 21-15, 22-20. Kejayaan ini sekali gus menjulang gelaran pertama negara sejak Leong Jun Hao muncul juara perseorangan lelaki pada 2017.
Kejayaan Ahmad Redzuan-Zi Yu juga menyaksikan mereka muncul sebagai pasangan beregu campuran kedua Malaysia menjuarai BAJC selepas Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei pada 2007.
Selain muncul juara beregu campuran bersama Ahmad Redzuan, Zi Yu turut mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila mara ke separuh akhir acara beregu wanita bersama Genevie Lim pada BAJC 2026.
Mengulas kejayaan bersama Ahmad Redzuan di pentas final, pemain berusia 15 tahun itu berkata beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai kerana mereka tidak menjalani latihan bersama dalam tempoh yang panjang.
Zi Yu juga menjangkakan cabaran lebih getir menantinya bersama Noraqilah pada Terbuka Taiwan 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos ini. Beliau sebelum ini pernah muncul naib juara beregu wanita remaja dunia dua kali iaitu bersama Dania Sofea Zaidi pada 2024 dan Noraqilah pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Ahmad Redzuan berkata kejayaan mereka di pentas final bukanlah mudah apabila terpaksa berdepan tekanan dan tentangan sengit pemain lawan dari China sebelum berjaya bangkit selepas ketinggalan 6-12 pada set kedua.
“Kami rasa memang susah pada perlawanan akhir itu tetapi kami cuba melakukan yang terbaik. Set kedua ada tekanan selepas ketinggalan tetapi alhamdulillah taktikal kami menjadi pada hujung perlawanan,” katanya.
— BERNAMA