Tebing Barat: Kanak-kanak Antara Lapan Cedera Diserang Peneroka Haram Israel, Warga Emas Ditahan

Lapan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa serangan ganas kumpulan peneroka haram Israel di kawasan Huwara, wilayah Hebron, di selatan Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.

Menurut kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan akibat dipukul telah diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.

Rumah Diserang, Mangsa Disembur Semburan Lada

Sumber tempatan melaporkan bahawa kumpulan peneroka haram terbabit menceroboh dan menyerang rumah-rumah milik penduduk Palestin di Huwara. Selain bertindak memukul penghuni rumah, mereka turut menyembur para penduduk dengan semburan lada, yang menyebabkan suasana menjadi huru-hara dan mencederakan beberapa individu.

Ketika insiden itu berlaku, tentera Israel yang berada di lokasi kejadian bertindak menahan seorang warga emas Palestin, Ibrahim Ismail al-Jabour. Bagaimanapun, usia sebenar mangsa tidak dinyatakan.

Kawasan Huwara, seumpama wilayah lain di Tebing Barat, dilaporkan kerap menjadi sasaran serangan berulang oleh pendatang haram Yahudi. Mereka menyasarkan penduduk, harta benda, dan sumber pendapatan rakyat Palestin di bawah perlindungan dan seliaan tentera Israel.

Ribuan Serangan Direkodkan Sepanjang 2026

Berdasarkan laporan rasmi daripada Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin, situasi keselamatan di wilayah berkenaan semakin kritikal:

Setakat ini, dianggarkan seramai 750,000 peneroka haram Yahudi mendiami 141 penempatan serta 224 pos penempatan haram di seluruh Tebing Barat, termasuk 250,000 orang di Baitulmaqdis Timur. Kehadiran dan serangan harian mereka dikatakan bertujuan untuk mengusir penduduk asal Palestin secara paksa.

Keganasan Meningkat Mendadak Sejak Perang Gaza

Sejak tercetusnya perang dan pembersihan etnik oleh Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023, wilayah Tebing Barat turut menyaksikan lonjakan mendadak dalam kempen keganasan oleh tentera dan peneroka haram Tel Aviv.

Sehingga kini, konfrontasi dan serbuan di Tebing Barat telah mengorbankan 1,179 rakyat Palestin, mencederakan 12,666 orang, manakala sekitar 24,000 yang lain telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel. — Agensi

Exit mobile version