Tentera Israel Alami ‘Kemerosotan Moral’ Ekstrem Di Gaza, Jari Terlalu Ringan Pada Picu – Pegawai Simpanan

Angkatan tentera Israel dilaporkan sedang mengalami krisis kemerosotan moral yang parah dalam kalangan anggotanya di tengah-tengah ketakutan yang kian memuncak ketika rejim itu meneruskan perang genosid di Semenanjung Gaza.

Pendedahan mengejutkan itu disuarakan oleh seorang pegawai simpanan Israel yang berkhidmat sebagai komander unit di Gaza menerusi satu surat yang diterbitkan oleh akhbar terkemuka Israel, Haaretz.

“Kini, semuanya dibenarkan, dan kami mempunyai jari yang ringan – terlalu ringan – pada picu senjata,” dedah pegawai tersebut yang enggan mendedahkan identitinya atas faktor keselamatan.

Beliau menjelaskan bahawa tumpuannya bukan lagi sekadar isu keletihan fizikal akibat kerahan tenaga yang berulang, sebaliknya kesan mendalam terhadap nilai kemanusiaan dan maruah dalam ketenteraan.

Misi Tidak Jelas, Segala-galanya Dihalalkan

Menurut pegawai berkenaan, tentera rejim kini terperangkap dalam “pertempuran parit berterusan yang tidak pernah puas”. Keadaan menjadi lebih parah apabila objektif sebenar misi ketenteraan di Gaza kini langsung tidak jelas dan kabur.

“Objektif misi kami tidak lagi ditakrifkan dengan jelas, menyebabkan kami tidak mempunyai sebarang kriteria atau kayu ukur untuk menilai kejayaan,” katanya.

Tambah beliau, status ‘misi pertahanan’ yang diuar-uarkan mencetuskan fobia dan keadaan berjaga-jaga yang keterlaluan terhadap kemungkinan serangan hendap oleh pejuang Palestin, sekali gus mengheret emosi askar ke kancah dilema moral yang parah.

Tembak Sesiapa Sahaja Kerana Ketakutan

Surat tersebut turut memperincikan bagaimana garis panduan melepaskan tembakan kini menjadi tidak terkawal sejak serangan 7 Oktober 2023. Askar Israel dilaporkan melepaskan tembakan rambang ke arah mana-mana penduduk Palestin yang menghampiri kedudukan mereka atas alasan berasa terancam.

“Kadangkala tindakan menembak itu wajar, dan kadangkala ia langsung tidak wajar. Namun, tembakan tetap dilepaskan hanya kerana askar di barisan hadapan berasa tidak selamat,” katanya, sambil menambah faktor cuaca panas terik, kelesuan dan perasaan sia-sia memburukkan lagi keadaan psikologi mereka.

Beliau turut mengakui tindakan membunuh terlalu ramai orang awam yang tidak bersenjata telah meninggalkan kesan trauma psikologi yang mendalam kepada minda para askar.

“Peraturan penglibatan tanpa had yang dilaksanakan bagi memastikan tiada penduduk Gaza mendekati pagar sempadan kini memakan diri. Ia semakin merosakkan nilai-nilai murni serta kesihatan mental kami,” akuinya lagi.

Sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, serangan kejam tentera Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang lain, selain memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di wilayah terkepung itu.

Sumber: AA / TRT World

Exit mobile version