Tentera Israel disabit kesalahan rogol tahanan Palestin di tapak penyeksaan Sde Teiman

Seorang askar Israel yang disabitkan bersalah mendera dan merogol seorang tahanan Palestin di tapak penyeksaan Sde Teiman telah tampil mempertahankan tindakannya secara terbuka, malah menuntut penghargaan atas jenayah yang dilakukan.

Dalam satu sidang media di luar Mahkamah Agung di Baitulmaqdis Barat pada Isnin, sekumpulan askar Israel bertopeng tampil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan ke atas mereka, sambil mendakwa bahawa mereka sepatutnya dipuji atas “pengorbanan” mereka terhadap negara.

“Saya berdiri di sini hari ini kerana bosan dengan kesunyian. Daripada penghargaan, kami menerima tuduhan. Bukannya terima kasih, yang ada hanyalah diam,” kata seorang daripada askar tersebut yang dikenali dengan huruf awal “A”, menurut laporan Saluran 7 Israel.

Askar itu mendakwa mereka tidak diberi ruang untuk membela diri, sebaliknya dijadikan tontonan umum dalam perbicaraan. “Kami tidak akan berdiam diri. Kami akan terus berjuang untuk keadilan dan keluarga kami,” katanya dengan nada mencabar.

Kes berprofil tinggi ini bermula pada Julai 2024 apabila seorang tahanan Palestin yang diculik dari Gaza diseksa dan diserang secara seksual di kem tahanan Sde Teiman di selatan Israel. Lima askar simpanan Israel telah didakwa selepas video kejadian itu tersebar, menunjukkan tahanan berkenaan dicederakan menggunakan objek tajam berhampiran bahagian dubur.

Media tempatan melaporkan bahawa identiti askar terlibat dilindungi oleh perintah mahkamah, dan tiada seorang pun daripada mereka kini ditahan atau dikenakan sekatan.

Pada masa sama, mahkamah Tel Aviv turut melanjutkan penahanan bekas pendakwa tentera Yifat Tomer-Yerushalmi selama tiga hari selepas beliau membenarkan penyiaran rakaman video penyeksaan dan rogol di kem tersebut, yang mencetuskan kemarahan global. Tomer-Yerushalmi kemudian meletak jawatan, dengan alasan bahawa beliau mahu “menentang propaganda palsu terhadap tentera Israel”.

Akhbar Haaretz melaporkan bahawa tahanan Palestin yang menjadi mangsa telah dibebaskan pada Oktober dan dikembalikan ke Gaza, namun perkara itu belum disahkan oleh Hamas atau mana-mana badan hak asasi Palestin.

Menurut organisasi hak asasi manusia Palestin dan Israel, lebih 10,000 warga Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak. Tahanan dilaporkan berdepan penyeksaan, kebuluran, serta pengabaian rawatan perubatan, yang telah mengakibatkan banyak kematian.

Siasatan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 2024 mendapati ribuan tahanan Palestin menjadi mangsa penyeksaan sistematik di kem dan penjara tentera Israel, dengan kesimpulan bahawa ia merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Wartawan Israel, Yoana Gonen, dalam tulisannya di Haaretz, mengkritik cubaan menggambarkan askar-askar tersebut sebagai wira. “Mereka kini menjadi lambang Israel hari ini – sebuah negara yang dipenuhi aib dan kehinaan,” tulisnya.

Gonen menyifatkan pendedahan rakaman rogol dan penyeksaan itu sebagai tamparan besar terhadap imej dan legitimasi tentera Israel. Akhbar Yedioth Ahronoth pula menulis bahawa insiden di Sde Teiman “bukan sahaja memalukan Israel, tetapi turut mencabar kesahihan keseluruhan struktur ketenteraan rejim tersebut.”

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 170,000 lagi cedera. Dianggarkan 11,000 masih tertimbus di bawah runtuhan rumah yang musnah akibat serangan udara.

Pihak berkuasa Palestin percaya angka sebenar korban mungkin jauh lebih tinggi, mencecah hingga 200,000 nyawa. Tentera Israel didakwa melakukan pelbagai kekejaman, termasuk memusnahkan kawasan kejiranan, menggali kubur besar-besaran, membedil hospital, serta menyeksa tahanan menggunakan anjing dan kejutan elektrik.

Dalam beberapa rakaman yang bocor, askar Israel dilihat menyiarkan video mereka memusnahkan rumah, mencuri barang peribadi penduduk, malah memperolokkan kematian rakyat Palestin di media sosial.

Serangan berterusan ini berlanjutan walaupun gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat pada 10 Oktober lalu masih berkuat kuasa di atas kertas. Dalam tempoh itu sahaja, lebih 250 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan berulang Israel.

Sumber: TRT World / Anadolu Agency

Exit mobile version