Tentera Israel lakukan 194 pelanggaran gencatan senjata di Gaza sejak 10 Oktober

Tentera Israel dilaporkan telah melakukan 194 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Pengarah pejabat itu, Ismail al-Thawabteh, berkata pelanggaran tersebut termasuk pencerobohan ke luar kawasan “garisan kuning”, sekatan terhadap kemasukan bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan, serta serangan udara dan tembakan ke arah kawasan penduduk.

“Setakat ini, tentera pendudukan telah melakukan 194 pencabulan terhadap rakyat Palestin sejak perjanjian berkuat kuasa. Kami menyerahkan laporan harian kepada pengantara antarabangsa mengenai pelanggaran ini,” katanya kepada Anadolu.

Thawabteh menjelaskan bahawa tentera Israel beberapa kali melintasi kawasan yang dipersetujui, menghantar kenderaan tentera ke kawasan perumahan dan melakukan serangan yang menyebabkan kematian serta kecederaan orang awam.

Beliau turut memberi amaran kepada rakyat Palestin agar tidak menghampiri kawasan “garisan kuning”, kerana tentera Israel sebelum ini telah menembak penduduk yang cuba memeriksa rumah mereka berhampiran zon tersebut.

“Garisan kuning” merujuk kepada sempadan tidak rasmi yang dibentuk di bawah perjanjian gencatan senjata, membahagikan Gaza kepada dua bahagian antara utara Khan Younis dan selatan Kota Gaza.

Selain itu, Israel juga dilaporkan tidak membenarkan kemasukan penuh konvoi bantuan dan masih menutup persimpangan Rafah dengan Mesir, yang penting untuk pemindahan pesakit keluar bagi rawatan. “Israel turut menyekat kemasukan ubat-ubatan serta peralatan perubatan,” tambah Thawabteh.

Sejak Mei 2024, Israel menguasai bahagian Palestin di persimpangan Rafah selepas memusnahkan dan membakar bangunannya. Pejabat media Gaza menyatakan hanya 3,203 trak bantuan berjaya memasuki wilayah itu daripada 13,200 yang dijanjikan di bawah perjanjian, mencatat kadar pematuhan sekitar 24 peratus.

Thawabteh juga mendedahkan bahawa Israel tidak melaksanakan protokol gencatan senjata yang memperuntukkan kemasukan jentera berat bagi mencari mayat di bawah runtuhan. Peralatan yang dibenarkan masuk hanyalah untuk mencari mayat tebusan Israel, bukan untuk ribuan rakyat Palestin yang masih hilang.

Anggaran rasmi menunjukkan kira-kira 9,500 rakyat Palestin masih belum ditemui, dipercayai tertimbus di bawah bangunan yang musnah.

Beliau turut menegaskan bahawa Israel gagal membenarkan kemasukan 300,000 khemah dan rumah bergerak seperti yang dijanjikan, menyebabkan hampir 288,000 keluarga Palestin terpaksa hidup di jalanan dan kawasan awam tanpa perlindungan.

Kerajaan Gaza menganggarkan lebih 90 peratus infrastruktur awam musnah dengan kerugian mencecah AS$70 bilion. Thawabteh menuduh Israel sengaja memperburuk krisis kemanusiaan dengan menahan lebih 6,000 trak bantuan di sempadan Mesir.

Beliau menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan pengantara antarabangsa untuk segera campur tangan bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan menghentikan pencabulannya.

Sumber: Anadolu Agency

Exit mobile version