Tentera Israel Tanda Nombor Pada Dahi Tahanan Palestin, Imbas Kembali Nostalgia Era Kejam Nazi

Tindakan tentera Israel menandakan nombor pada dahi dan lengan penduduk Palestin yang ditahan semasa serbuan di Tebing Barat yang diduduki telah mencetuskan kecaman hebat, kerana amalan tersebut mengimbas kembali zaman gelap era Nazi semasa Holocaust.

Kejadian itu berlaku pada Isnin di bandar Qabatiya, berhampiran Jenin, apabila unit khas tentera Israel, Duvdevan, menggeledah kira-kira 100 buah bangunan dan menahan berpuluh-puluh penduduk tempatan untuk disoal siasat. Pihak tentera Israel kemudiannya mengesahkan amalan menanda tahanan tersebut.

Salah seorang tahanan, Ahmad al-Hathnawi, mendedahkan bahawa beliau telah ditanda dengan nombor ’44’ pada bahagian dahinya. Menurut beliau, sekurang-kurangnya 50 orang termasuk wanita telah ditangkap dalam serbuan berkenaan.

“Ini kali pertama mereka memberikan nombor-nombor ini kepada saya. Pada dasarnya, mereka cuba menghantar mesej bahawa jika peneroka haram datang ke kawasan ini, tidak akan ada masalah dan mereka akan kekal di sini untuk jangka masa yang panjang,” kata al-Hathnawi kepada media tempatan.

Kecaman Ahli Parlimen dan Liputan Sejarah

Tindakan itu mendapat bidasan keras daripada Ahli Parlimen Knesset, Ahmad Tibi, yang menyifatkan amalan berkenaan sebagai sesuatu yang “mengejutkan dan menjijikkan” serta mencerminkan penyahmanusiaan terhadap rakyat Palestin.

“Satu imej yang mengingatkan zaman gelap dan sepatutnya mengejutkan setiap orang,” tulis Tibi menerusi hantaran di platform X.

Amalan menanda badan manusia dengan nombor mengimbas kembali taktik pihak berkuasa Nazi yang mencacah nombor pengenalan pada tahanan di kem perhambaan dan pembasmian. Laporan mendapati ini bukan kali pertama tentera Israel menggunakan kaedah sedemikian; pada April lalu, wanita Palestin di Jenin turut ditanda nombor pada lengan, manakala kejadian serupa dilaporkan di Hebron pada tahun 2024.

Insiden di Qabatiya ini berlaku berhampiran kawasan penempatan haram baharu Israel, Ganim, yang ditubuhkan baru-baru ini. Kesemua penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak tahun 1967 adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Sumber: Laporan AFP, TRT World & Agensi

Exit mobile version