
SUNGAI BULOH – Aktivis kemanusiaan dan pempengaruh terkenal, Farah Lee menepis dakwaan seorang individu yang mendakwa semua pihak hanya menumpukan bantuan kepada penduduk Gaza semata-mata.
Fara atau nama sebenarnya, Nurfarahin Romli berkata, tiada unsur pilih kasih dalam membantu sesama manusia dan bantuan diberikan kepada semua memerlukan.
“Saya sendiri secara peribadi pernah pergi ke Syria, Afghanistan, India, Kemboja dan Lubnan. Banyaklah negara, lebih daripada 10. Pengalaman di lapangan banyak membuka mata saya tentang erti sebenar kemanusiaan”.
“Kesedaran kami sebagai manusia tidak mengira bangsa, tidak mengira agama, warna kulit dan sebagainya. Kami tahu sebagai seorang manusia, kami ada rasa kemanusiaan”.
“Jadi kami berjuang di mana-mana sahaja yang memerlukan kami untuk perjuangkan hak asasi manusia,” katanya ditemui ketika hadir pada Majlis Peluncuran Lagu Keamanan Dunia berjudul Keamanan Dunia nyanyian Reyhana Yunus di Kelab Rahman Putra, di sini, Rabu lalu.
Farah dan barisan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) hadir sebagai tetamu undangan memeriahkan peluncuran lagu yang didedikasikan khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda penghargaan dan sokongan rakyat Malaysia, terhadap komitmen beliau dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
Peluncuran lagu ini dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharudin Abu Sohot.
Farah yang menyertai misi GSF turut meminta kehadiran wanita bersama delegasi lelaki tidak wajar dipertikaikan.
Ia sebaliknya perlu dilihat sebagai satu keperluan penting dalam membantu masyarakat yang terkesan di zon konflik.
“Saya percaya setiap individu ada kapasiti, kepakaran dan kemampuan masing-masing. Isu tentang wanita ‘berjihad’ ini pun sudah dijelaskan oleh mufti berkenaan rukhsah jihad”.
“Bagi kami yang biasa turun ke lapangan, kehadiran wanita sangat diperlukan kerana sifat keibuan itu penting untuk mangsa yang memerlukan”.
“Wanita yang sertai misi seperti ini biasanya mendapat restu suami, anak-anak dan ibu bapa. Ini perjuangan bersama, bukan perjuangan wanita semata-mata, tetapi perjuangan keluarga dan juga masyarakat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya, sebagai aktivis dan pempengaruh yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai, suaranya sedikit sebanyak akan membawa kesedaran terhadap sesuatu isu yang berlaku.
“Jadi bila kami bersuara,mungkin lebih ramai orang mendengar dan kita dapat lihat sebenarnya senjata sosial media itu sangat-sangat besar, sangat tajam sehinggakan penjajah Israel pun takut kepada gelombang yang tercetus daripada media sosial,” katanya – Harian Metro