
Tanjung Malim, 26 November – Jiwa kemanusiaan Nor Muhammad Sakri yang kental terbukti apabila sanggup bergegas ke lokasi nahas bas di Gerik seawal jam 3.00 pagi demi membantu rakan-rakan seperjuangan yang kemalangan.
Selain jiwa kemanusiaan yang terserlah, kecemerlangan dalam bidang kreatif dan kepimpinan, melayakkan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menerima Anugerah Khas Kepimpinan Alumni Dato’ (Dr) Sani Araby.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dipilih berdasarkan kesetiaan berbakti serta keseimbangan pencapaiannya dalam akademik, kesukarelawanan, dan sukan.
Pengasas anugerah tersebut, Dato’ (Dr) Ahmad Sani Araby berkata, pengiktirafan itu dizahirkan bagi meraikan ketokohan mahasiswa yang tidak hanya mengejar segulung ijazah, sebaliknya sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kepakaran demi kelestarian universiti serta masyarakat.
“Nor Muhammad Sakri membuktikan bahawa nilai sebenar seorang mahasiswa terletak pada kesediaan mereka untuk menyumbang kembali. Beliau bukan sahaja cemerlang di balik lensa dan karya kreatif untuk menaikkan imej UPSI, malah ikhlas membimbing rakan-rakan lain dalam bidang multimedia,” katanya.
Sepanjang pengajiannya, Nor Muhammad Sakri menjadi tulang belakang dalam kerja-kerja fotografi, videografi, penyuntingan serta animasi 3D bagi mendokumentasikan pelbagai acara rasmi universiti, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), fakulti, dan persatuan pelajar.
Majlis penyampaian Anugerah Khas Kecemerlangan Alumni anjuran Pusat Alumni itu disempurnakan di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28, semalam.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menegaskan bahawa universiti sentiasa komited melahirkan graduan holistik yang memiliki nilai ihsan dan adab yang tinggi.
“Sewaktu di kampus, mahasiswa didedahkan dengan pelbagai program kemahiran insaniah dan keilmuan. Bekalan inilah yang menjadi perisai buat mereka untuk berbakti kepada masyarakat serta mendepani alam kerjaya yang mencabar,” ujarnya.
Mengimbau detik paling menyentuh hati sepanjang bergelar mahasiswa, Nor Muhammad Sakri menyifatkan penglibatan langsungnya dalam menguruskan bantuan susulan tragedi kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik sebagai pengalaman yang mendewasakannya.
“Saya bergerak ke lokasi kejadian seawal jam 3.00 pagi bagi membantu urusan di lapangan. Ia bukan sekadar tanggungjawab, tetapi panggilan kemanusiaan yang sangat berharga buat saya,” kongsinya.
Selain aktif di lapangan, rekod kepimpinan beliau turut terserlah menerusi pelantikannya sebagai Exco Media Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI Sidang 2024/2025, Exco Media Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (2023/2024), serta Exco Akademik Persatuan Integrasi Media (2023/2024). Beliau juga setia berkhidmat sebagai Rakan Pesta Konvokesyen (PESKON) bagi edisi ke-25 hingga ke-27, serta Rakan Millenia bagi pengambilan pelajar dari tahun 2023 hingga 2026.
Dalam bidang kokurikulum dan inovasi pula, beliau pernah meraih tempat kedua kategori Animasi Pendek pada Pertandingan Creative Innovation Creativepreneur sempena Festival of Ideas 2026 peringkat kebangsaan. Beliau juga merupakan atlet silat yang menyumbang pingat emas pada Kejohanan Silat Warisan Dato’ Maharajalela UTP 2023 dan pingat perak di Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Silat Olahraga Berkumpulan 3×3 Putrajaya 2022.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Alumni, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril.