Zionisme: Ideologi di Sebalik Penjajahan Palestin

Selama lebih satu abad, istilah Zionisme menjadi simbol kepada kegelojohan penubuhan negara haram Israel. Pada masa yang sama, menjadi sumber penderitaan utama rakyat Palestin. Namun, ramai masih keliru tentang apakah sebenarnya Zionisme, bagaimana ia bermula dan mengapa ia terus mempengaruhi politik global hingga hari ini.

Asal-usul Zionisme

Zionisme adalah gerakan politik dan ideologi nasionalisme Yahudi yang muncul di Eropah pada akhir abad ke-19. Ia diasaskan oleh seorang wartawan berbangsa Yahudi dari Austria, Theodor Herzl, melalui bukunya Der Judenstaat (‘Negara Yahudi’) yang diterbitkan pada tahun 1896.

Pada masa itu, ramai Yahudi Eropah menghadapi diskriminasi dan kebencian anti-Semit, terutamanya di Rusia dan Eropah Timur. Herzl percaya bahawa satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan masa depan bangsa Yahudi ialah dengan membina negara sendiri dan dia memilih Palestin sebagai ‘tanah yang dijanjikan‘.

Bermula dengan idea kepada penjajahan

Pada tahun 1897, Herzl menubuhkan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland yang melahirkan matlamat rasmi untuk menubuhkan ‘tanah air bagi bangsa Yahudi di Palestin’.

Ketika itu, Palestin masih berada di bawah pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah dan didiami secara majoriti oleh bangsa Arab Muslim serta Kristian. Namun, gerakan Zionis mula mengatur imigrasi besar-besaran Yahudi ke Palestin, membeli tanah dan membina penempatan komuniti Yahudi dengan bantuan kewangan daripada gerakan Zionis antarabangsa.

Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah pada Perang Dunia Pertama, Britain mengambil alih Palestin melalui Mandat British. Pada tahun 1917, kerajaan Britain mengeluarkan Deklarasi Balfour yang secara terbuka menyokong pembentukan ‘tanah air bagi bangsa Yahudi di Palestin’ tanpa mengambil kira hak penduduk asal.

Penubuhan Israel dan pembersihan etnik Palestin

Kredit foto Syrian Arab News Agency SANA

Pada tahun 1948, gerakan Zionis berjaya menubuhkan negara haram Israel, sejurus selepas Britain mengundurkan diri dari Palestin. Dalam proses itu, lebih 700,000 rakyat Palestin diusir dari rumah dan kampung mereka, satu tragedi yang kini dikenali sebagai Nakbah (malapetaka).

Gerakan Zionis tidak hanya menuntut tanah, tetapi juga berpegang pada ideologi bahawa Palestin adalah tanah yang ‘dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi’. Inilah asas kepada keangkuhan dan penindasan sistematik Israel terhadap Palestin hingga ke hari ini, termasuk pendudukan haram Tebing Barat, pengepungan Gaza dan rampasan tanah berterusan.

Zionisme: Antara agama dan politik

Walaupun Zionisme sering disamakan dengan agama Yahudi, ia sebenarnya bersifat politik dan sekular. Ramai Yahudi anti-Zionis di seluruh dunia menentang ideologi ini kerana ia bertentangan dengan ajaran asal Taurat yang melarang menubuhkan negara sebelum kedatangan Al-Masih.

Bagi dunia Islam, Zionisme dilihat sebagai projek penjajahan moden yang disokong kuasa Barat, dengan tujuan melemahkan dunia Arab dan mengawal kawasan strategik Timur Tengah.

Zionisme hari ini

Kini, Zionisme telah berkembang menjadi doktrin negara Israel serta menjadi asas kepada dasar penindasan terhadap rakyat Palestin. Ideologi ini digunakan untuk menghalalkan serangan ketenteraan, pengusiran penduduk dan perluasan penempatan haram, semuanya atas nama ‘keselamatan Israel’.

Bukan itu sahaja, lobi Zionis di negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah berperanan penting dalam memastikan sokongan politik, ketenteraan dan ekonomi kepada Israel terus berterusan.

Pandangan dunia Islam

Bagi umat Islam, menentang Zionisme bukan bermaksud memusuhi Yahudi sebagai bangsa atau agama. Islam mengajar keadilan untuk semua. Namun, menentang Zionisme adalah menolak penjajahan, kezaliman dan apartheid yang menafikan hak bangsa Palestin di tanah air mereka sendiri.

Sebagaimana ditegaskan oleh ramai ulama dan sarjana Islam, perjuangan menentang Zionisme adalah sebahagian daripada jihad kemanusiaan dan keadilan global bukan hanya isu Palestin, tetapi isu seluruh umat manusia.

Kesimpulan

Zionisme bukan sekadar ideologi lama, ia adalah sistem penjajahan yang masih hidup dan terus menindas. Memahami Zionisme adalah langkah pertama untuk memahami punca utama konflik Palestin-Israel  dan juga asas untuk membina kesedaran global tentang hak rakyat Palestin dan keperluan menolak ideologi penjajahan moden ini.

Sumber:

 

Exit mobile version