
NEW YORK – Ahli politik muda progresif, Zohran Kwame Mamdani, mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Datuk Bandar New York City ke-111, sekaligus menjadi Muslim pertama menerajui bandar terbesar di Amerika Syarikat (AS).
Calon Demokrat berusia 34 tahun itu menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa, dalam pilihan raya yang turut dilihat sebagai referendum terhadap hala tuju politik AS di bawah era Donald Trump.
Pemimpin sedia ada, Eric Adams, menarik diri daripada bertanding semula pada September lalu selepas berdepan pelbagai skandal dan dakwaan rasuah yang menggugat kempen beliau.
Mamdani, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri New York, berjaya menarik perhatian ramai menerusi mesej keadilan sosial dan kemampuan hidup termasuk cadangan membekukan kadar sewa, membina perumahan mampu milik, menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam, serta menjadikan pengangkutan awam percuma.
Kemenangannya dalam pemilihan awal Demokrat pada Jun lalu, dengan kelebihan hampir 13 mata ke atas Cuomo, mengejutkan pemerhati politik dan mengubah landskap politik kota berkenaan.
Mamdani menerima sokongan tokoh progresif ternama seperti Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, selain Peguam Negara Letitia James, Gabenor Kathy Hochul dan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries.
Namun, dua Senator New York, Chuck Schumer dan Kirsten Gillibrand, tidak memberi sokongan rasmi menggambarkan perpecahan dalaman Demokrat terhadap arus ideologi baharu parti itu.
Dibiayai melalui derma kecil dan tenaga sukarelawan, kempen Mamdani mendapat momentum besar hasil kehadiran aktif di media sosial dan gaya berkempen santai, berjalan kaki menemui rakyat.
Sepanjang kempen, beliau berdepan serangan Islamofobia dan kritikan kerana pendiriannya terhadap Israel dan Gaza, termasuk dituduh sebagai ‘calon jihad’ oleh sekutu rapat Trump, Elise Stefanik.
Dalam debat terakhir pada Oktober, Mamdani menegaskan hasrat untuk ‘mengembalikan semangat rakyat biasa ke dewan kuasa’, menolak dakwaan bahawa beliau terlalu muda untuk memimpin bandar raya paling kompleks di AS.
Kemenangan ini bukan sekadar perubahan politik tempatan, tetapi simbol kebangkitan generasi muda dan komuniti minoriti dalam membentuk wajah baharu Amerika moden.
Pilihan raya kali ini turut mencatat penyertaan pengundi tertinggi sejak 1969, menyaksikan Mamdani meraih kemenangan besar menewaskan Cuomo dan Sliwa, satu kejayaan yang dianggap bersejarah dan penuh makna.