DomestikKesihatanPendidikanSemasa

4 produk kosmetik mengandungi racun berjadual – KKM

PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual dan membatalkan notifikasi produk tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat produk tersebut adalah BL Skincare Day Cream 1 yang mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin, Biela Beauty Glowing Night Cream, BL Skincare Day Cream 2, dan BL Skincare Night Cream masing-masing mengandungi merkuri.

Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, racun hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang boleh mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan kanser kulit.

Katanya, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas, dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Produk yang mengandungi merkuri boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh menggangu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambahnya lagi, merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi, dan perubahan pada kulit.

Dalam pada itu, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan seterusnya,” katanya.

Beliau menegaskan orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status‘ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Related Articles

Back to top button