DomestikSemasa

Anwar Pengerusi Mesyuarat Tertutup Bersama Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, menghabiskan hampir sejam bertemu dengan kira-kira 1,000 ahli PKR Negeri Sembilan dalam Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan Jelajah Presiden di sebuah hotel di sini semalam. Pertemuan tertutup itu turut dihadiri Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, Ketua Wanita, Fadhlina Sidek, dan Ketua AMK Pusat, Muhammad Kamil Munim. Selepas seminar, Anwar mengadakan mesyuarat tertutup dengan Ketua-Ketua Cabang Negeri Sembilan di lokasi yang sama.

Fuziah berkata, pertemuan ini merupakan sebahagian daripada jelajah pimpinan tertinggi PKR untuk memperkukuh solidariti dan menyatukan pimpinan akar umbi di seluruh negara. Beliau menegaskan sesi tersebut melibatkan semua ketua cabang, termasuk yang menang dan tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini. “Kita mahu merangkul semua kembali kerana banyak kerja perlu dilaksanakan. Kita bukan berlawan dengan musuh, tetapi sesama adik-beradik. Perpaduan ini penting untuk memajukan parti,” katanya kepada pemberita.

Fuziah juga menjelaskan bahawa Anwar menafikan isu penggantungan keahlian sembilan Ahli Parlimen PKR, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli, yang sebelum ini dilaporkan mengkritik kontroversi pelantikan dalam institusi kehakiman. “Presiden menyatakan isu penggantungan tidak timbul kerana mereka berhak menyuarakan isu rakyat, cuma teguran perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan,” ujarnya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button