PalestinSemasa

Lebih 20 NGO Sertai “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” di Dataran Merdeka Sabtu Ini

Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di Dataran Merdeka Sabtu ini bagi menjayakan Himpunan Nasional “Malaysia Bangkit Untuk Gaza”, sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Antara NGO yang mengesahkan penyertaan ialah Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (HALUAN), Gerakan Pembela Ummah dan Muslim Care Malaysia. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dengan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan Ahli Parlimen merentasi parti.

Pengarah Himpunan, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, kerjasama padu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memastikan persiapan berjalan lancar dan himpunan dapat diadakan dalam suasana aman serta teratur.

“Acara akan bermula jam 4 petang hingga 11 malam. Peserta akan berarak secara aman selepas solat Asar dari beberapa lokasi berdekatan seperti Masjid Negara, Masjid Jamek dan SOGO, sebelum berkumpul di Dataran Merdeka untuk program utama yang bermula pada jam 5 petang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Himpunan tersebut akan diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal seperti Far East dan Rabbani, penampilan anak-anak Palestin, sesi doa khas, serta ucapan daripada pemimpin NGO, tokoh masyarakat sivil, dan wakil antarabangsa termasuk Dr Marwan dari Kesatuan Ulama Palestin.

Mohd Apandi menjelaskan, himpunan kali ini membawa mesej kemanusiaan yang merentasi agama dan politik, dengan matlamat menyatukan semua pihak bagi mendesak penghentian segera genosid di Gaza, membebaskan Masjid Al-Aqsa, serta mengembalikan hak rakyat Palestin.

“Ini bukan sekadar perhimpunan, tetapi suara hati rakyat Malaysia untuk berdiri bersama Palestin dan menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan,” tambahnya.

Sumber – TRT World

Related Articles

Back to top button