DomestikSemasa

Langkah Kekang Buli di IPT dan Status Ombudsman Malaysia Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Usaha kerajaan untuk mengekang gejala buli di institut pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta menjadi antara agenda utama sidang Dewan Rakyat hari ini, di samping penjelasan mengenai status penubuhan Ombudsman Malaysia.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi berhubung langkah yang diambil untuk menangani isu buli di IPT pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH–Bangi) akan meminta Perdana Menteri menjelaskan hasil libat urus kerajaan bersama pihak berkepentingan mengenai penubuhan Ombudsman Malaysia, termasuk langkah mempercepatkan pelaksanaannya.

Isu kos rawatan tinggi di hospital swasta turut menjadi perhatian apabila Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) mengemukakan soalan kepada Menteri Kesihatan, selain bertanya mengenai rancangan kerajaan untuk melaksanakan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) bagi menyelaras penstrukturan kos kesihatan dan cadangan penubuhan tribunal pesakit.

Rushdan Rusmi (PN–Padang Besar) pula dijangka bertanyakan cadangan penubuhan jawatan koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sektor awam, selaras pindaan Akta OSH 2022.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan meneruskan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 31 Julai lalu. RMK13 memperuntukkan pelaburan sebanyak RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk memacu pembangunan negara.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari, bermula 29 Julai dan dijadual berakhir pada 28 Ogos.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button