
Korea Utara mengecam keras rancangan Israel untuk menggabungkan dan menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza yang terkepung, menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan bukti niat “seperti samseng” untuk merampas wilayah Palestin.
Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata keputusan Kabinet Perang Israel yang meluluskan rancangan berperingkat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu itu menunjukkan hasrat jelas untuk menafikan hak kedaulatan rakyat Palestin.
“Gaza adalah sebahagian yang tidak terpisahkan daripada tanah Palestin,” tegas jurucakap itu sambil mengutuk tindakan Israel yang didakwa memperburuk krisis kemanusiaan dan mencabul keamanan di Timur Tengah.
Pyongyang turut mendesak Israel menghentikan segera serangan bersenjata haram terhadap rakyat Palestin serta berundur sepenuhnya dari Gaza.
Sejak serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza bermula, lebih 61,500 penduduk Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, telah terkorban, manakala kira-kira 11,000 lagi dilaporkan masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan, menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA. Pakar menganggarkan angka sebenar korban mungkin mencecah 200,000 orang.
Konflik itu turut menyaksikan Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Sumber: TRT World & Agensi