PolitikSemasa

PRN Sabah: BN Mahu Rebut Semula Kerusi Tradisi Daripada Bersatu

Barisan Nasional (BN) menegaskan akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi sebelum ini, selain berhasrat mengambil semula kerusi tradisi yang pernah diserahkan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN dan Pakatan Harapan (PH) secara prinsip telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

“Kita kekal dengan pendirian untuk bertanding di kerusi yang kita menang, termasuk kerusi-kerusi tradisi yang pernah kita serahkan kepada Bersatu.

“Semasa PRN Sabah lalu, banyak kerusi tradisi BN diberikan kepada Bersatu atas dasar semangat kerjasama, namun akhirnya kita dikhianati. Kita tidak mahu sejarah itu berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau, di sini hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 Nov ini jika tiada pembubaran lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-17.

Sementara itu, mengulas mengenai ketegangan antara Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dan sayap Pemuda DAP (DAPSY) berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik, Mohamad menyeru semua pihak supaya bertenang serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Malaysia sebuah negara berbilang kaum, agama dan bahasa. Justeru, setiap isu perlu diselesaikan melalui perbincangan demi memastikan keharmonian serta kestabilan masyarakat dapat dikekalkan,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button