DomestikSemasa

AI Bantu Tingkat Ketepatan Diagnosis Kesihatan – Dzulkefly

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kesihatan negara bagi meningkatkan ketepatan diagnosis penyakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata teknologi AI kini telah digunakan dalam beberapa inisiatif, antaranya Lung Health Initiatives atau Program Inisiatif Kesihatan Paru-Paru yang memanfaatkan data sinar-X untuk tujuan diagnosis.

“Contohnya, dalam analisis sinar-X, sukar menentukan sama ada sesuatu nodul adalah tuberkulosis atau sebaliknya. AI membantu kami meningkatkan tahap ketepatan diagnosis tersebut. Itu antara manfaat yang jelas,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Menuju Sistem Penjagaan Mampan dan Inklusif, malam ini.

Beliau berkata penggunaan AI semakin pesat berkembang bukan sahaja dalam bidang onkologi tetapi juga kardiologi, pembedahan, perubatan am, pergigian dan lain-lain, malah dijangka diperluaskan dalam tempoh terdekat.

“Kita akan memperkukuh lagi aplikasi AI, sama ada dalam bentuk penyelidikan mahupun perkhidmatan kesihatan. KKM komited untuk memastikan transformasi ini memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan KKM mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk buli di tempat kerja. Setakat ini, lebih 400 aduan telah diterima dan kementerian sedang memperkukuh garis panduan pengurusan isu tersebut.

“Sejak awal saya menegaskan, budaya buli tidak boleh diterima sama sekali. Garis panduan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pelaku berpotensi, malah menjadi amaran bahawa KKM serius dalam usaha membendung gejala ini,” katanya.

Tambah beliau, pembentukan iklim kerja yang adil dan selamat harus dipacu nilai perikemanusiaan, kasih sayang serta empati, bukan hanya bergantung kepada peraturan semata-mata.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button