
Kuching City FC tampil bergaya di gelanggang sendiri apabila menundukkan Imigresen FC dengan jaringan 4-0 pada aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Negeri Sarawak, malam ini.
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-29 menerusi rembatan kencang Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang menewaskan penjaga gol lawan.
Insiden tegang tercetus pada masa tambahan babak pertama apabila pemain import Imigresen FC, Pedro Santos Filho, dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan keras ke atas Moses Atede. Sepakan percuma yang diperoleh The Cats gagal dimanfaatkan, dan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.
Bersambung babak kedua, Kuching City tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menyudahkan peluang pada minit ke-48. Penyerang muda itu sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-64 dengan gol keduanya untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-0.
Gol keempat hadir pada minit ke-74 melalui pemain tengah import, Petrus Shitembi, yang melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 buat skuad bimbingan The Cats.
Kemenangan ini menjadikan Imigresen FC mangsa ketiga Kuching City dalam saingan musim baharu, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga keempat liga dengan mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan.
— BERNAMA